KUALA LUMPUR – Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM) kecewa dengan kenyataan oleh Dr Xavier Jayakumar yang tidak mahu masyarakat India di negara terlalu bergantung harap bantuan kerajaan, sebaliknya berusaha dalam meningkatkan taraf kehidupan.
Presiden KKIM, Shanmugam Ramiah berkata, pihaknya tidak menyangka Xavier diangkat sebagai pemimpin untuk memperjuangkan nasib masyarakat India di negara tergamak mengeluarkan kenyataan demikian.
Jelas Shanmugam, kenyataan yang konon-kononnya berupa nasihat itu sebenarnya seperti menghina keupayaan komuniti ini untuk bekerja dalam sektor kerajaan.
“Kenyataan kamu sebenarnya sungguh menyeleweng kononnya komuniti kita tidak boleh sangat berharap untuk bekerja dengan kerajaan.
“Adakah kamu sedang katakan bahawa komuniti ini tidak boleh berharap dengan peruntukan kerajaan? Subsidi, tender kerajaan ataupun projek? Adakah kita ini tidak layak langsung? Apa sebenarnya niat kamu berkata demikian?
“Ingatkah lagi tentang 21 janji manifesto kamu kepada masyarakat India pada PRU lepas? Antaranya adalah memperjuangkan dan menjaga kebajikan kami tetapi kini kamu tampil pula dengan kenyataan sampah seperti ini.
“Mengapa kamu sendiri sebagai pemimpin India meletakan harga diri kita sehingga ke tahap ini hingga kamu cadang kita bekerja sendiri seperti menggunting rambut?
“Di bawah kerajaan baharu yang kamu canang-canangkan ini komuniti India sebenarnya langsung tidak ada harapan. Inikah maksud kerajaan baharu itu?
“Sangat mengecewakan dan memalukan, untuk apa ada Menteri India yang ramai jika sebenarnya tidak ada seorang pun mampu melaksanakan janji kamu kepada kami. Semuanya sudah berubah selepas kamu menang undi kami,” katanya.
Kelmarin, Xavier seperti dilaporkan Malaysiakini berkata, lebih kurang 70 peratus masyarakat India di Malaysia masih berada di bawah paras kemiskinan dengan pendapatan seisi keluarga tidak melebihi RM3,000.
Bagaimanapun kata Xavier, ini tidak seharusnya menjadi alasan kepada komuniti tersebut untuk terus bergantung kepada bantuan kerajaan, sebaliknya perlu menceburi perniagaan dan peluang yang terdapat di sektor swasta.
Menurutnya, masyarakat India di Malaysia tidak boleh bergantung kepada peluang pekerjaan daripada kerajaan.
“Jangan fikir pasal kerajaan. Ada banyak peluang di sektor swasta.
“Kerajaan mengambil keputusan untuk melarang pekerja asing di sektor gunting rambut dan dobi. Belia kita mesti mengambil manfaat daripadanya,” kata Xavier.
Bagaimanapun, pada masa sama, jelas Xavier, kerajaan PH masih perlu bekerja keras untuk memastikan masa depan kaum India terjamin.
Shanmugam menegaskan, jika Xavier tidak mahu masyarakat India bergantung harap dengan kerajaan, menteri itu juga jangan berharap untuk undi kaum India pada pilihan raya umum akan datang.
“Kami khasnya pengundi India antara yang tertinggi mengundi PH sehingga kamu menjadi kerajaan tetapi kini seperti ‘kacang lupakan kulit’. Kamu seolah-olah sudah lepas tangan,” katanya yang menuntut Xavier tampil dengan statistik pembayar cukai dan bagaimanakah PH telah memperuntukkan bajet RM20 juta itu,” tegasnya. –MalaysiaGazette
Xavier, terima kasihlah untuk ‘hadiah istimewa’ Deepavali – MIC