Home Politik Beri peruntukan kepada MBM bukan YPC – Asyraf

Beri peruntukan kepada MBM bukan YPC – Asyraf

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bercakap selepas Mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Menara Datuk ONN, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempertimbangkan semula keputusan untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM138 juta kepada Youth Power Club (YPC) yang baharu ditubuhkan.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sekiranya kerajaan ikhlas mahu memperkasakan pembangunan belia, peruntukan itu seharusnya disalurkan kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) yang menjadi platform kepada semua pertubuhan belia di seluruh negara.

Tegas beliau, dengan menyalurkan peruntukan sebanyak itu kepada YPC menampakkan kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan mempunyai motif politik, bukan untuk kepentingan generasi belia.

“Penyaluran kepada YPC ini menimbulkan tanda tanya. Pertama, kerana kelab ini baru ditubuhkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mana telah timbul kontroversi baru-baru ini bahawa pemimpin YPC ini terdiri dari Ketua-ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Kalau kerajaan PH ikhlas nak perkasakan belia kenapa gunakan kelab ini, kenapa tidak gunakn MBM yang telah pun dimaktubkan dalam Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007?

“Ketika zaman Barisan Nasional (BN), kerajaan mengiktiraf peranan dan fungsi MBM sebagai badan induk yang mewakili pertubuhan belia di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di sini, hari ini.

Dr. Asyraf menjelaskan, terdapat 41 pertubuhan belia induk yang melibatkan Majlis Belia Negeri (MBN) di seluruh Malaysia yang mempunyai ribuan cawangan.

Ini katanya, termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Belia 4B, MAYC, Pengakap dan Pandu Puteri yang mempunyai ratusan cawangan di seluruh negara.

Kata beliau, sebelum ini semua pertubuhan belia itu diberi perhatian oleh kerajaan BN dengan menyalurkan peruntukan bagi membolehkan mereka menjalankan program pembangunan dan pemerkasaan belia.

“Kalau campur semua sekali pertubuhan belia ini ada ribuan cawangan berbanding YPC yang ditubuhkan Syed Saddiq dan terjerat dalam perang persepsi,” katanya. – MalaysiaGazette