Home Politik Mustahil Kok Wai tidak tahu kandungan komik

Mustahil Kok Wai tidak tahu kandungan komik

Wee Ka Siong bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI

KUALA LUMPUR – MCA menuntut Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Wakil Khas Malaysia ke China, Tan Kok Wai menjelaskan kepada rakyat Malaysia bagaimana buku komik kontroversi yang diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh sampai ke tangan Presiden China.

Presidennya, Datuk Seri Wong Ka Siong berkata, sesungguhnya rakyat Malaysia berhak untuk mengetahuinya apatah lagi Xi Jinping telah melihat buku komik berkenaan di hadapan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tentunya Tan Kok Wai mengetahui dengan baik; dia tidak sepatutnya diam sahaja.

“Lagipun, Tan Kok Wai telah melantik Hew Kuan Yau, pengarang buku komik, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Malaysia-China,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Hew yang lebih popular dipanggil Superman Hew dikatakan mempunyai kaitan rapat dengan DAP, juga adalah Kurator Muzium Komik dan Kebudayaan Asia yang berpangkalan di Pulau Pinang.

Tegasnya, mustahil bagi Kok Wai yang juga Ahli Parlimen DAP di Cheras tidak tahu mengenai kandungan komik tersebut, apatah lagi kata pengantar komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ ditulis oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang merupakan Menteri Kewangan.

Semalam, KDN telah mengharamkan buku komik berkenaan kerana didakwa mempromosikan ideologi, antara lain komunisme dan sosialisme.

Kandungan komik itu juga tidak mengambil kira sensitiviti Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Menurut Ka Siong, seluruh episod mengenai buku komik itu telah menyebabkan Malaysia dan Kerajaan Pakatan Harapan telah menjadi bahan ketawa.

Ini kerana, penerbitan buku komik tersebut yang menyaksikan peranan ahli-ahli kerajaan PH, telah diharamkan oleh kerajaan sendiri.

Lantaran itu, katanya, rakyat berhak mengetahui sama ada wang pembayar cukai telah digunakan dalam operasi Majlis Perniagaan Malaysia-China dan jika kerajaan negeri Pulau Pinang menyokong Muzium Komik dan Kebudayaan Asia kerana ia berpusat di Komtar, di Pulau Pinang .

Lagipun, meskipun Hew adalah bekas ahli DAP tetapi secara fakta dan realiti, dia masih berpengaruh dalam parti itu.

“Saya pasti Beijing mesti tertanya-tanya apa yang sedang berlaku di Malaysia kerana tindakan itu sangat mengelirukan.

“Sekarang, Beijing mesti cuba membaca apa yang berlaku memandangkan semua tindakan mengelirukan,” katanya. – MalaysiaGazette