KUALA LUMPUR – Boustead Holdings Berhad (Boustead) didakwa masih belum mampu membayar apa-apa dividen kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk separuh pertama tahun ini.
Senario itu sangat membimbangkan kerana jika Boustead tidak membuat pembayaran dividen kepada LTAT, bagaimana LTAT dapat membayar dividen kepada ahli-ahlinya.
“Jangan nanti Pakatan Harapan (PH) kata dividen LTAT tahun 2018 ialah 2% tapi dividen LTAT tahun 2019 turun hingga sifar?,” kata bekas Perdana Menteri itu.
Pada tahun 2017, Boustead membayar dividen sebanyak 11 sen sesaham dan tahun lalu 5 sen sesaham.
Najib yang tidak sampai hati untuk trol perkara ini berkata, bukan sekadar dividen Boustead yang menurun tetapi harga saham Boustead juga telah menjunam.
Katanya, sebelum PRU14, harga satu saham Boustead hampir RM3 tetapi semasa pengumuman dividen tahun 2018 bulan lepas, harga saham Boustead menjunam ke RM1.05 sesaham
“Dan hari ini turun lagi ke 95 sen,” katanya sambil mendakwa kerosakan ini bertambah teruk selama 18 bulan sejak PH memerintah.
Tegasnya, situasi ini bukan sahaja membawa kerugian besar bagi LTAT tetapi untuk tabung-tabung rakyat yang lain memandangkan saham Boustead turut dimiliki oleh Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, selain LTAT.
Katanya, LTAT memiliki 1,204,952,018 saham Boustead, manakala KWAP (186,179,392) dan KWSP (102,644,848).
Lantaran itu, Najib berkata, jika Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu tidak mampu menjaga LTAT dan Boustead serahkan kepada pemimpin PH lain.
“Jangan sampai LTAT umum dividen 0.00% bagi tahun 2019,” ujarnya. – MalaysiaGazette