PASIR MAS – Pemilik kambing bermata satu yang tular dilaman sosial Facebook baru-baru ini meminta semua pihak menghentikan penyebaran maklumat mengenai kambing berkenaan.
Sahabudin Muhamad, 52, berkata kedua ekor kambing jantan yang dilahirkan sejak lima hari lalu itu hanya sekadar kambing yang biasa cuma dilahirkan dengan satu mata.
“Kedua ekor kambing berkenaan dilahirkan lambat akibat lemas disebabkan air ketuban yang pecah awal, namun tidak sampai lima minit selepas dilahirkan ia mati,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kelahiran dua ekor kambing berkenaan yang hanya memiliki satu mata itu turut mengejutkan penduduk di Kampung Tok Sangkut, Pasir Mas.
Sahabudin yang juga pengamal tradisional berkata, walaupun kejadian itu pertama kali berlaku baginya, namun beliau menganggap ia aturan Allah SWT dan tiada unsur mistik.
“Saya berharap tiada pihak yang menokok nambah tentang kelahiran yang luar biasa ini sehingga mengundang kepercayaan karut sesetengah pihak,”katanya.
Katanya dia juga tidak menafikan ramai yang menghubunginya untuk bertanyakan kisah ini, dan turut menjelaskan sebaik mungkin agar tiada salah faham yang berlaku.
Terdahulu, gambar dua ekor anak kambing itu dimuat naik ke laman media sosial Facebook dan menjadi tular serta-merta.- BERNAMA