Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, kekalahan Ahok berpasangan dengan Djarot Saiful Hidayah dipercayai kerana mereka ditolak umat Islam di negara itu susulan tindakannya yang menghina Islam sebelum ini.
“Kejayaan ini juga jelas menunjukkan signal kebangkitan Islam di sana. Apabila anda menghina agama Islam, jangan fikir umat Islam tidak akan bertindak menolak anda sebagai pemimpin. Pilihan raya Gabenor Jakarta telah membuktikannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pilihan raya Jakarta menyaksikan bekas menteri pendidikan Indonesia, Anies dan pasangannya, Sandiaga terpilih masing-masing sebagai gabenor dan timbalan gabenor kota raya berkenaan Rabu lalu.
Mereka mengetepikan penyandang, Ahok atau Basuki Tjahaja Purnama yang bergandingan dengan Djarot memperoleh 58 peratus sokonngan pengundi berbanding lawannya yang hanya mendapat 42 peratus.
Ahok adalah tokoh popular yang pernah menjadi timbalan kepada Joko Widodo ketika presiden Indonesia itu masih lagi bertugas sebagai Gabenor Jakarta.
Bagaimanapun, Ahok yang menjadi tokoh bukan Islam dan pertama menjadi Gabenor Jakarta terpalit dengan tuduhan menghina Islam ekoran ucapannya semasa berkempen dulu.
Mengulas lanjut, Nasrudin juga menyifatkan pertandingan di antara calon Ahok-Djarot dan Anies-Saindiaga sebagai pertembungan buku dan ruas.
“Ahok menjadi sasaran demonstrasi besar beberapa bulan yang lalu susulan ucapan beliau yang disifatkan menghina Al-Quran dan agama Islam itu sendiri,” ujarnya.
Beliau berkata, kebangkitan Islam di Indonesia dijangka diterjemahkan rakyat di negara ini khususnya umat Islam dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) dalam isu pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
“Isu pindaan Akta 355 disusuli pindaan Akta 164 (RUU164) membuka mata rakyat di negara ini mengenai siapa sebenar lawan, siapa kawan yang benar-benar memperjuangkan Islam.
“Kebangkitan yang sama sedang membugar dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette