KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dengan siasatan awal yang sedang dijalankan oleh suruhanjaya berkenaan terhadap tiga pegawainya.
“Prasarana adalah badan korporat yang sentiasa menjunjung tinggi prinsip-prinsip integriti dalam segala urusannya dan sentiasa mengingatkan seluruh warga kerja untuk melaksanakan tugas dengan telus, amanah dan penuh keikhlasan.
Justeru itu, sekiranya kami mendapati terdapat projek yang mengandungi unsur-unsur tidak telus atau menyimpang dari prosedur kendalian standard, kami akan berhubung dengan Ketua Pegawai Integriti SPRM yang ditempatkan di Prasarana untuk mendapatkan khidmat nasihat dan kerjasama agar ia dapat diteliti dengan lebih lanjut, ” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain dalam satu kenyataan hari ini.
“Prasarana akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM dalam melaksanakan siasatan dan sudah mengeluarkan surat pekeliling kepada staf untuk memberikan kerjasama mereka dalam urusan ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette