Home Nasional ‘Malangnya Melayu sahaja dilabel rasis’

‘Malangnya Melayu sahaja dilabel rasis’

Abdul Hadi Awang.

KUALA LUMPUR – Kaum Melayu di negara ini malang kerana dibebankan dengan jenama rasis di bumi kelahiran mereka sendiri.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Melayu menerima nasib ini kerana keislamannya.

“Kalau Melayu tidak menganut Islam seperti kaum lain, maka tidak dilabel rasis.

“Adakah keadaan ini disebabkan oleh penyakit Islamofobia yang sedang merebak sekarang?” soalnya dalam status di FBnya malam ini.

Menurut Abdul Hadi, walaupun adanya peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang dikatakan menjamin hak istimewa orang Melayu dan bumiputera namun tidak mampu mengejar bagi mendapat tempat yang sama.

“Biarpun bangsa Melayu memegang kuasa politik, tetapi tidak mampu mempengaruhi perubahan ekonomi dengan mudah dalam suasana berkonsepkan politik kebebasan dan ekonomi bersaing yang tidak berakhlak dan bermaruah.

“Masalah utama bukannya rasis, tetapi hak mereka yang dilihat telah dipinggirkan di atas buminya sendiri oleh pihak lain. Apatah lagi situasi sekarang turut dipengaruhi oleh kegelojohan parti kaum yang ekstrem untuk mendapat kuasa politik di hadapan mata melalui amalan demokrasi yang dipengaruhi oleh sifat perkauman melampau dan tidak mengenang budi Melayu Islam terhadap mereka,” kata Ahli Parlimen Marang itu.

Tambahan pula, kata Abdul Hadi, pengaruh penguasaan ekonomi digunakan melalui projek hartanah dan perumahan di kawasan bandar yang makin membangun dan meluas menghimpit Melayu walaupun secara sah mengikut undang-undang, apatah lagi secara haram melalui rasuah politik dan pentadbiran.

Keadaan yang tertekan semakin nyata menjadikan bangsa Melayu bersuara, kerana keadaannya tercabar, katanya.

“Kini diumumkan pula kebenaran menjual rumah kepada makhluk asing kerana mengejar duit, pastinya Melayu juga menjadi mangsa.

“Kalau Melayu rasis, maka sejak awal lagi bangsa pendatang tidak mendapat kerakyatan, hak berpolitik untuk menjadi ahli Parlimen, Menteri Besar atau Ketua Menteri, menguasai ekonomi, mengamalkan agama dengan bebas, menggunakan bahasa ibunda dalam pendidikan sehingga mencapai kedudukan sebagaimana yang ada ini,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, walaupun berlaku Peristiwa 13 Mei 1969 tetapi dapat disejukkan tanpa melarat dengan kejam kerana sifat Islam yang masih ada dalam diri orang Melayu yang beragama Islam supaya memperkenalkan Islam kepada bukan Islam tanpa paksaan.

Malangnya konsep dakwah memperkenalkan Islam tanpa paksaan juga dicabarnya.

“Ingat! Islam mengajar orang Melayu bahawa kesabaran itu ada batas sempadannya. Hanya Melayu yang terlalu bodoh dan lemah roh Islam serta hilang jiwa bangsanya sahaja tidak peka, sehingga hilang jati diri di atas tanah airnya sendiri,” tegasnya.

Menurut Abdul Hadi, kemunculan Muafakat Nasional dan Kongres Maruah Melayu menunjukkan kebangkitan Melayu tanpa mengira pembangkang, kerajaan, fahaman politik, NGO, ilmuwan dan mahasisiwa. Itu belum lagi dikerah seluruh rakyatnya sehingga ke pedalaman untuk bangkit mempertahankan hak.

Bahkan dinyatakan tuntutan hak Melayu yang tercabar dan terhimpit sahaja tanpa menunjukkan permusuhan terhadap kaum lain, katanya.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mungkin ada benar bagai yg diperkatakan oleh YGHA, soalnya mengapa ‘orang lain’ takut dgn Melayu Islam. Biarlah org Melayu dgn kepercayaan, keyakinan & amalan mereka. Ini tidak terdapat segelintir bkn pengamal Islam yg sengaja menyibuk. Melakukan ‘provokasi’ dgn membakar al-Quran, meletak kepala babi di pagar masjid, menghina nabi dsbnya yg menyebabkan kemarahan org Melayu Islam. Org Melayu Islam tidak ‘memulakan’ utk memburukkn penganut agama/kepercayaan agama lain. Mereka bebas mengamalkn kepercayaan & keyakinan serta amalan mereka. Cuma Melayu Islam bersuara pabila mereka di provok dgn pelbagai ‘tomohan’ & cercaan yg kurang menyenangkn. Justeru itu, usahlah memprovok Melayu Islam dgn tulisan2 negatif, biarlh mereka dgn kepercayaan, kayakinan & amalan mereka. Nabi & agama mereka usah dimomokn. Melayu Islam tidak mencerca & memomok cara org lain beragama – dgn penyembahn patong2 yg di ukir & dewa2 mereka, krn kepercayaan & keyakinan mereka. Biarlah kami – Melayu Islam dgn kepercayaan & amalan mereka. Org lain biarlah mereka dgn kepercayaan & amalan mereka. Pasti org Melayu Islam tidak bertindak balas – kekedang semacam sedikit kasar!

Comments are closed.