TEL AVIV – Sebuah pesawat peribadi yang tidak dikenali, Challenger 604, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ben-Gurion mendarat di ibu negara Jordan, Amman sebelum menuju ke ibu negara Arab Saudi, Riyadh pada petang semalam yang menyebabkan timbul persoalan warga Israel yang manakah melakukan lawatan ke Arab Saudi.
Pesawat tersebut meninggalkan Israel dan terbang ke lapangan terbang Amman, di mana ia berada selama dua minit di lapangan terbang itu sebelum berlepas dan mendarat di ibu negara Arab Saudi.
Kurang sejam, pesawat peribadi yang didaftarkan di Amerika Syarikat (AS) itu berlepas dan kembali ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ben-Gurion.
Baru-baru ini pesawat tersebut juga melakukan penerbangan antara Tel Aviv dan Kaherah.
Wartawan akhbar Maariv, Yossi Melman menerusi akaun Twitternya berkata, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu atau Ketua Mossad, Yossi Cohen mungkin berada dalam penerbangan itu.
Pada September lalu, Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Danny Danon memberitahu The Jurusalem Post bahawa Israel dan pelbagai negara Arab, termasuk negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi, sedang bekerjasama di PBB dan tempat lain untuk menentang Iran. – Agensi