LONDON – Sebanyak 39 mayat yang ditemui dalam kontena di taman perindustrian dekat London dipercayai warga China, kata polis dengan kini lebih banyak maklumat diperolehi.
“Setiap satu daripada 39 mayat perlu melalui proses koroner untuk menentukan punca kematian sebelum kami cuba untuk mengenalpasti setiap individu dalam treler,” kata polis dalam kenyataan.
Para pegawai menambah bahawa mayat yang ditemui itu ialah 39 lelaki dan lapan perempuan dan semua mereka adalah dewasa. Terdahulu polis berkata, seorang remaja merupakan antara yang menjadi mangsa.
Para pegawai China bertindak pantas berikutan pengumuman terbaharu itu.
“Kami membaca laporan mengenai kematian 39 orang di Essex, England dengan hati yang berat,” kata Kedutaan China di London dalam satu kenyataan kepada NBC News.
Polis juga telah menyerbu tiga premis di Ireland Utara selepas mayat ditemui dalam sebuah kontena di Gray, kira-kira 32 kilometer di timur London pada awal pagi Rabu lalu.
Polis menahan pemandu lori yang berusia 25 tahun dari Ireland Utara kerana disyaki membunuh.
Trak tersebut tiba di dermaga di Essex, selatan England, setelah mengharungi perjalanan dari Zeebrugge, Belgium dan mayat itu ditemui hanya sejam selepas itu iaitu pada pukul 1.40 pagi, kata para pegawai.
Kepala trak yang bewarna merah itu dipercayai berasal dari Ireland. Ia mempunyai lambang ‘Ireland’ pada cermin depan di samping mesej ‘The Ultimate Dream’. – Agensi