KUALA LUMPUR – Walaupun kerajaan menaikkan harga tanah Kampung Baru sehingga RM1,000 setiap kaki persegi(kps), namun harga itu belum cukup menarik dan memuaskan hati penduduk perkampungan tersebut.
Rata-rata mereka mendakwa harga tanah yang ditawarkan oleh kerajaan itu tidak munasabah langsung.
Mat Harus Abdul Rahman, 71, menganggap kerajaan seolah-olah hanya mahu mempergunakan orang Melayu apabila meletakkan harga murah dan tidak berbaloi demi mengaut keuntungan dan tujuan pembangunan semata-mata.
Sekiranya benar kerajaan mahu melihat Melayu maju seperti yang sering laung-laungkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, harga tanah Kampung Baru perlu ditetapkan pada kadar RM4,000 kps.
Katanya, kerajaan yang sering memperlekehkan orang Melayu sebelum ini sepatutnya rasa malu kerana tidak mampu menawarkan harga tinggi untuk mendapatkan tanah milik penduduk dan pewaris Kampung Baru.
“Kutuk Melayu, tapi nak beli tanah Melayu dengan harga murah, beli tanah Cina sampai RM5,000 hingga RM6,000 kaki persegi,” kata Mat Harus ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Artikel berkaitan: RM1,000 sekaki persegi tawaran terakhir buat penduduk Kampung Baru
Tak perlu jual, itu saja yang ada di Kampung Baru – Pewaris
Boleh tawar harga lebih tinggi untuk tanah Kampung Baru
Hanya agensi kerajaan boleh bangunkan Kampung Baru
Tambahnya lagi, majoriti tanah yang dimiliki oleh penduduk Kampung Baru tidak mencecah satu ekar pun, justeru dengan harga RM1,000 kps untuk tanah warisan tidak besar mana, langsung tidak memberikan manfaat.
“Kalau nak kena letak harga RM4,000 kaki persegi tanah di sini. Dengan jumlah itu bolehlah anak Melayu cari tempat lain. RM1,000 apa nak beli? Tanah Kampung Baru ini bukan satu orang satu ekar, lot sahaja semuanya, nak bahagi pula 10, 20 ahli keluarga yang lain,” tambahnya.
Anak kelahiran Kampung Baru, Jahinab Mariani, 64, dan empat adik-beradiknya pula curiga dengan pakej tawaran yang dibuat oleh kerajaan untuk menggunakan bayaran RM150/kps dalam bentuk pegangan saham menerusi syarikat tujuan khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak.
Wanita itu berkata, semuanya tidak jelas, selain masa depan wang yang akan dipegang oleh SPV tersebut juga tidak diketahui.
Jahinab khuatir sekiranya saham syarikat itu merudum, wang mereka juga bakal lesap begitu sahaja.
“Harga yang ditawarkan RM1,000 itu tidak diberi sepenuhnya kepada kita. Daripada RM1,000 pula, RM150 itu diambil untuk buat pelaburan, kita tidak tahu pelaburan jenis apa, macam mana nak dibuat, baru cakap macam itu sahaja.
“Pelaburan sahaja kita tahu, jadi kita tidak boleh setuju (begitu sahaja), kita nak tahu pelaburan apa yang nak dibuat dengan duit kita. Kena jelaskan. Kalau pelaburan itu merudum apa yang kita akan dapat?” soal anak jati Kampung Baru itu.
Seorang warga emas, Shuib Tahir, 83, pula tetap mahu terus menetap di tanah pusaka milik keluarganya walaupun tanpa sebarang pembangunan.
Beliau yang tidak termakan dengan tawaran tanah yang dicadangkan oleh kerajaan berkata, dia langsung tidak memandang wang ringgit.
“Siapa nak jual? Pasal apa nak jual tanah di sini yang cantik, kedudukan strategik?
“Tanah dalam pekan (bandar) yang nak diambil tanah orang Melayu. Lepas ni orang Melayu nak pergi mana? Bungkus selepas tiada tanah? Nak cari tanah lain pula?” katanya.
Tambah beliau, nasib dan masa depan orang Melayu di situ akan bertukar menjadi malang sekiranya tanah diserahkan hanya atas alasan pembangunan.
Sementara itu, penduduk Kampung Baru, Ramlan Latip, 57, mendakwa 70 hingga 80 peratus pemilik tanah sudah bersetuju untuk menjual dengan harga yang ditetapkan kerajaan.
Ini kerana, kebanyakan pemilik dan waris tidak bergantung hidup di situ sebaliknya sudah mempunyai tanah di kawasan lain yang boleh dibangunkan, seperti keluarganya yang merancang untuk mendirikan rumah di Perak selepas mendapat bayaran kelak.
“Kita memang setuju nak jual, tapi kita nak tengok harga, kali kedua diletakkan harga RM1,000 sekarang 70 hingga 80 peratus dah setuju dengan harga terbaharu ini,” katanya ringkas.- MalaysiaGazette