KUALA LUMPUR – Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) hari ini membidas sikap tindakan segelintir media perdana yang mengangkat graduan Universiti Malaya (UM), Wong Yan Ke bagaikan seorang hero di mata rakyat.
Presidennya, Ikhwan Nashriq Salahin menegaskan, Yan Ke tidak sewajarnya diberi ruang dalam rancangan bual bicara di sebuah stesen tv tempatan.
Tegasnya, ini kerana tindakannya bertentangan dengan adat istiadat konvokesyen UM yang dihadiri oleh Tuanku Canselor sendiri.
“Kita buat (berhimpun) atas dasar Yan Ke tidak berganjak daripada mempersoal tindakan Naib Canselor UM.
“Baru-baru ini Yan Ke masuk dalam 8TV. Media semua sibuk mengangkat Yan Ke sebagai hero UM.
“Kita rasa tindakan Yan Ke sangat bercanggah dengan apa yang sepatutnya,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan UM, di sini, hari ini.
Sabtu lalu, Yan Ke, graduan Kejuruteraan Awam mendesak pihak UM menarik balik laporan polis yang dibuat ke atas dirinya bagi membuktikan komitmen institusi pengajian tinggi itu terhadap kebebasan bersuara.
Yan Ke juga meminta Naib Canselor UM, Datuk Dr Ir Abdul Rahim Hashim tampil dan membuat penjelasan mengenai ucapan didakwa berbaur perkauman ketika Kongres Maruah Melayu (KMM), pada 6 Oktober lalu.
Selasa lalu, pentadbiran UM mengecam keras tindakan Yan Ke yang mengeluar dan menayangkan plakad bertulis ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ ketika berada di pentas majlis istiadat konvokesyen universiti itu, pada Isnin.
Yan Ke turut menjerit ‘ini tanah Malaysia’ selepas menerima ijazahnya di atas pentas, Isnin lalu.
Dalam pada itu, beliau membidas kenyataan Yan Ke yang mendakwa kenyataan Naib Canselor UM itu berbaur perkauman ketika berucap pada Kongres Maruah Melayu, 6 Oktober lalu.
“Naib Canselor UM hadir ke Kongres Maruah Melayu atas dasar wakil universiti dan ucapannya langsung tidak mengaibkan dan tiada nilai-nilai rasis,” katanya.
Katanya lagi, UM perlu mengharamkan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (Umany) yang dilihat mengangkat Yan Ke sebagai tokoh kepada pertubuhan itu.
“Kami rasa ini adalah satu perancangan yang terancang dirancang oleh beberapa pihak dan kita mengharapkan ada tindakan lanjut.
“Walaupun Yan Ke tidak ditahan ijazahnya, dan kita mengharapkan badan-badan pertubuhan yang melibatkannya seperti Umany dilihat kembali.
“Kalau Yan Ke dilihat sebagai tokoh pertubuhan itu, UM sepatutnya mengharamkan Umany, kalau tidak akan mengganggu-gugat reputasi dan maruah UM pada masa akan datang,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan tindakan Yan Ke didalangi oleh pemimpin politik DAP susulan ijazahnya tidak ditahan dan dia dibiarkan bebas mengkritik pihak UM secara terbuka.
“Kita melihat Yan Ke dan rakan-rakannya menyerang Naib Canselor sangat aktif dan rapat dengan DAP.
“Kami rasa ini juga ada kaitannya parti politik seperti DAP.
“Sepatutnya universiti kena siasat (rancangan menyerang VC),” katanya lagi. – MalaysiaGazette