CYBERJAYA- Sabah dan Sarawak akan beralih sepenuhnya kepada siaran TV Digital myFreeview daripada siaran TV terestrial analog mulai 31 Oktober 2019, menandakan berakhirnya era penyiaran TV analog di seluruh Malaysia yang ditawarkan secara percuma sejak 1963.
Dengan fasa terakhir penutupan ini, seluruh Malaysia akan beralih sepenuhnya kepada siaran TV digital myFreeview.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) berkata, pelbagai usaha seperti menguar-uarkan peralihan berkenaan kepada orang ramai menerusi Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA), program bual-bicara di stesen-stesen TV dan radio, pengedaran risalah-risalah di tempat-tempat dan perumahan awam, pusat-pusat internet dan akhbar tempatan.
Selain itu, platform media sosial serta sesi libat urus bersama kerajaan negeri serta paparan maklumat peralihan di skrin TV giat dijalankan oleh SKMM dan MYTV untuk memastikan warga Sabah dan Sarawak bersedia menghadapi peralihan tersebut.
Dalam hal ini juga, SKMM dengan kerjasama MYTV akan terus memantau perkembangan semasa dan berada di lokasi bagi memastikan proses peralihan berjalan dengan lancar.
Siaran TV digital myFreeview menjanjikan imej gambar yang lebih tajam, bunyi yang berkualiti tinggi dan perkhidmatan TV interaktif yang akan memacu keperluan ekonomi, sosial dan pendidikan negara serta rakyatnya.
Selain itu, para penonton boleh menikmati pelbagai saluran TV, radio, dan aplikasi-aplikasi baharu seperti membeli-belah dalam talian, pembelajaran interaktif dan banyak lagi melalui 15 saluran TV dan enam saluran radio termasuk TV1, TV2, TV3, NTV7, 8TV, TV9, TV Al Hijrah, dan Bernama News Channel (BNC), semuanya secara percuma tanpa sebarang yuran bulanan.
SKMM berkata, dekoder percuma turut diedarkan kepada 2 juta isi rumah B40 yang telah berdaftar dan berpendapatan terendah di seluruh negara.
Sebarang pertanyaan boleh melayari laman sesawang www.myFreeview.tv atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan MYTV di talian 1800-18-1088 daripada pukul 8 pagi hingga 10 malam setiap hari, termasuk cuti umum. – MalaysiaGazette