Home Dunia MH370: Analisis baharu kenalpasti lokasi pesawat

MH370: Analisis baharu kenalpasti lokasi pesawat

Flaperon sebenar dan replika flaperon yang digunakan dalam analisis hanyutan.

SYDNEY – Bukti baharu mencadangkan lokasi pesawat Malaysia Airlines yang hilang mungkin berada di utara zon pencarian utama, kata saintis Australia.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 2014.

Australia, Malaysia dan China menghentikan pencarian pesawat itu pada Januari lalu.

Analisis model hanyutan bahagian sayap pesawat, flaperon, sebenar pesawat Boeing, B777 pertama kali dilakukan, dengan para sainstis menyokong laporan mengenai kemungkinan lokasi MH370 yang dikeluarkan pada Disember lalu.

Lokasi tersebut terletak di kawasan berkeluasan kira-kira 25,000 kilometer persegi di utara zon pencarian sebelum ini, di selatan Lautan Hindi.

“Ujian flaperon sebenar telah menambah tahap jaminan penemuan daripada ujian model hanyutan sebelum ini,” kata Dr. David Griffin dari Organisasi Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel Australia (CSIRO) yang dipetik BBC.

Terdahulu, ujian menggunakan replika flaperon yang ditemui di Pulau Reunion, kata laporan itu.

“Kami mendapati flaperon sebenar hanyut kira-kira 20 darjah ke kiri dan (hanyut) lebih cepat berbanding replika (flaperon), seperti yang kami jangkakan.

“Ketibaan flaperon Mh370 di Pulau Reunion masuk akal,” kata Griffin.

Pada tahun lalu, Menteri Pengangkutan Australia, Darren Chester berkata, laporan yang dikeluarkan pada Disember itu bukannya asas kepada pencarian baharu kerana ia tidak memberi ‘lokasi spesifik’ pesawat tersebut.

Bercakap hari ini, beliau mengulangi lokasi itu tetapi berkata, laporan berkenaan telah dihantar ke Malaysia untuk ditimbang.

“Malaysia adalah penyiasat utama dan sebarang permintaan berhubing pencarian MH370 pada masa depan akan ditentukan oleh Australia ketika itu,” katanya. – Agensi