Home Politik DAP sanggup buat laporan polis ke atas ahli sendiri – Hata

DAP sanggup buat laporan polis ke atas ahli sendiri – Hata

Hata Wahari

KUALA LUMPUR – Ahli seumur hidup DAP, Mohd. Hata Wahari tidak menyangka parti itu sanggup membuat laporan polis ke atas dirinya sehingga direman selama empat hari sejak Selasa lalu.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) berkata, penahanan itu adalah pertama kali dalam hidup selepas 24 tahun menjadi wartawan kerana menulis sesuatu persepsi yang disalah sangka.

“Saya ahli seumur hidup DAP, tak akanlah saya nak cakap saya nak bunuh pemimpin parti saya sendiri. Betul tak?

“Saya masuk DAP pun anak Lim Kit Siang (Lim Guan Eng) yang umum sendiri. Saya pun tak pernah buat apa-apa onar dalam DAP.

“Saya hanya suarakan pendapat sahaja. Tak akan menyuarakan sesuatu pendapat salah sekarang ini,” katanya memetik laporan MalaysiaKini semalam.

Mohd. Hata yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia dibebaskan dengan jaminan polis pada kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Beliau ditahan polis di Temerloh, Pahang dipercayai bagi membantu siasatan ugutan bunuh terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang berhubung hantarannya melalui media sosial.

Penangkapan itu dipercayai adalah susulan laporan polis yang difailkan oleh Ketua Pemuda DAP Howard Lee Chuan How di Jelapang, Perak minggu lalu.

Mengulas lanjut, Hata pelik dengan sikap pemimpin dan ahli partinya itu terhadap beliau.

“Dia orang langsung tak ada hubungi saya. Bukan dia orang tak kenal saya Hatta Wahari. Saya pun pelik.

“Dan laporan polis itu dibuat oleh ahli DAP sendiri. Dia orang ini tak kenal ahli parti sendiri ke? Saya pun pelik,” katanya.

Hata juga turut meluahkan rasa kesalnya berhubung kebebasan bersuara di negara ini yang disifatkan semakin buruk di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya ingat masa pentadbiran BN dah cukup buruk rupanya di bawah PH ini lagi buruk.

“Saya pun tak faham macam mana nak cakap sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette