MELAKA – DAP Melaka hari ini menolak tuduhan pembangkang yang mendakwa Adly Zahari sebagai Ketua Menteri Melaka yang lemah dan tidak dapat mengawal ahli exco kerajaan negeri.
Setiausaha DAP Melaka Damian Yeo Shen Li menegaskan bahawa DAP bukanlah ‘gila kuasa’, sekaligus menepis tuduhan ketua pembangkang negeri Datuk Seri Idris Haron yang mendakwa kedudukan Adly kini adalah atas ihsan DAP.
“Bagi kami di dalam DAP, Adly adalah seorang pemimpin yang adil, dan kini memandangkan kita berada dalam pentadbiran negeri, kita perlu mengambil peluang ini untuk membetulkan apa yang salah, sama ada berkaitan pentadbiran mahupun politik, penjagaan kesihatan ataupun perumahan, pelancongan atau bola sepak. Ia bukan soal “ihsan DAP”.
“Ia berkenaan memberikan yang terbaik daripada kita semua untuk Melaka, DAP bukan gila kuasa. Kami hanya membantu dengan apa yang termampu sahaja, sebagai anggota dalam Pakatan Harapan,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi Whatsapp di sini hari ini.
Sebuah portal berita hari ini menerbitkan kenyataan Idris yang antara lain menyebut Adly seorang yang lemah, dan tidak dapat mengawal exco, kerana partinya hanya menduduki dua kerusi Dewan Undangan Negeri Dalam Negeri, berbanding DAP lapan.
Semalam sebuah portal berita melaporkan ada cadangan untuk menggantikan kepimpinan Adly dengan pembentukan kerajaan negeri menerusi ‘pintu belakang’ namun ia dinafikan oleh 14 Ahli Dewan Undangan Negeri yang teguh berdiri di belakang Adly.
— BERNAMA