SHAH ALAM – Selepas membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke final, pemain sayap kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid kini mengidamkan untuk menjulang Piala Malaysia apabila skuad Harimau Selatan itu turun berentap dengan juara lima kali, Kedah pada aksi final pada 2 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Muhammad Safawi, 22 mengakui beliau amat mengidam untuk beraksi di pentas final setelah tidak diturunkan sewaktu JDT menewaskan Kedah 2-0 pada aksi final 2017 di Stadium Shah Alam, yang merupakan kejuaraan Piala Malaysia pertama diraih skuad Harimau Selatan itu .
“Impian saya sudah pasti untuk membawa pulang trofi Piala Malaysia kerana sudah lama saya menanti saat ini untuk bantu rakan sepasukan dalam aksi final nanti.
“Apatah lagi, saya belum pernah berpeluang untuk beraksi pada final terakhir kami dua tahun lalu dan tahun ini, saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kejuaraan menjadi milik kami sekali lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan separuh akhir kedua menentang Selangor di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu menjadi wira JDT apabila meledak jaringan hatrik ketika pasukan selatan tanahair itu melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas Selangor yang merupakan juara 33 kali Piala Malaysia, sekaligus mara dengan kemenangan agregat 5-1.
Untuk rekod, JDT menang 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 19 Okt lalu.
Mengulas lanjut, Muhammad Safawi yang menjadi nadi kejayaan JDT dalam menjulang kejuaraan keenam berturut-turut dalam saingan Liga Super musim ini, mengakui, kerjasama erat daripada rakan sepasukan menjadi faktor kejayaan skuad Harimau Selatan menumbangkan Selangor di tempat lawan.
Kedah mara ke pentas final Piala Malaysia selepas mencatat keputusan seri 8-8 secara agregat ketika berdepan juara empat kali, Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada satu lagi aksi separuh akhir kedua, namun layak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan.
Kedua-dua pasukan seri 3-3 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 19 Oktober lalu. – Bernama