PASIR MAS – Sebanyak 811 saman tertunggak milik 279 warga Thailand berjaya diselesaikan dalam Operasi Saman Tertunggak Warga Asing (OSTWA11), yang dijalankan di negeri ini sejak dua hari lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan bagaimanapun berkata, angka berkenaan masih terlalu kecil, jika dibandingkan dengan jumlah saman tertunggak yang direkodkan sejak 2000 hingga sekarang iaitu membabitkan 35,492 saman.
“Untuk OSTWA11 kali ini sebanyak 811 saman tertunggak berjaya diselesaikan, melibatkan 279 orang warga Thailand, selain saman 532 warga tempatan, membabitkan nilai RM161,150.
“Operasi ini dijalankan di empat lokasi iaitu dua di Tumpat dan masing-masing satu di Pasir Mas dan Tanah Merah, bagi memberi kesedaran kepada warganegara asing terutama Thailand, menyelesaikan saman tertunggak,” katanya selepas meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) berdekatan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Rantau Panjang di sini, hari ini.
Pada SJR itu, sebanyak 299 saman baharu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas, serta 422 saman tukar status terhadap warganegara jiran.
Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, OSTWA yang dijalankan di negeri ini adalah yang ke-11, selepas operasi sama sebelum ini dijalankan di Perlis, Kedah, Perak, Sabah, Sarawak dan Johor.
Beliau berkata, operasi itu juga diharap memberi impak positif kepada pengguna kenderaan warga asing, agar mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak melakukan kesalahan trafik semasa berada di negara ini.
Katanya, operasi itu juga akan menumpukan kepada pesalah trafik yang mempunyai waran tangkap, tidak kira sama ada mereka itu warganegara jiran atau tempatan.
“Dalam isu ini walaupun mereka sudah kembali ke negara asal, namun mereka perlu sedar tanggungjawab membayar saman perlu dilaksanakan, kerana kesalahan dilakukan di negara ini,” katanya. – Bernama