Home Politik Selepas PH umum, BN pilih Rabu untuk dedah calon PRK Tg Piai

Selepas PH umum, BN pilih Rabu untuk dedah calon PRK Tg Piai

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) membuat kejutan dengan tidak mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sebaliknya hanya melancarkan jentera parti itu.

Bermula semalam, BN dikhabarkan akan mengumumkan calonnya hari ini selepas pengumunan calon Pakatan Harapan (PH) dibuat oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Calon yang akan kita kemukakan ini lebih baik daripada Dr Farid. Calon juga anak tempatan, tetapi jangan umumkan calon hari ini.

“Datuk Hasni telah arahkan kepada saya jangan umum calon hari ini, begitu juga Presiden MCA, Wee Ka Siong turut bisik ke telinga saya untuk tidak umum calon hari ini,” katanya semasa berucap dalam majlis perasmian jentera BN di PRK Tanjung Piai, hari ini.

Hadir sama ketiga-tiga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Sebelum itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad juga mengesahkan BN tidak akan mengumumkan calon hari ini.

“Mereka (PH) sudah tertipu dengan kita, bila dia dengar kita nak umum calon hari ini, dia pun terus nak umum calon,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata BN memberikan kuasa penuh kepada Hasni untuk mengumumkan calon bagi pihak BN.

“Saya telah berbincang dengan MCA dan ingin umumkan bahawa kami beri kuasa kepada Hasni untuk umumkan dalam waktu yang paling sesuai.

“Mudah-mudahan beliau tidak mengambil masa yang lama.

Difahamkan BN akan mengumumkan calonnya, Rabu ini.

PH hari ini mengumumkan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini sebagai calon bagi mempertahankan kerusi Tanjung Piai. -MalaysiaGazette