LONDON-Seorang pemandu yang dituduh membunuh 39 orang yang ditemui mati dalam sebuah kontena lori, disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan manusia.
Tertuduh, Maurice Robinson, dari Craigavon, ditahan dalam tahanan di Mahkamah Majistret Chelmsford.
Rabu lalu, pihak berkuasa menemui 39 mayat dalam treler di ladang industri di Grays, Essex.
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berkata, kejadian itu telah mengejutkan dunia.
Robinson, dari Laurel Drive, muncul melalui pautan video dan didakwa dengan 39 tuduhan pembunuhan, melakukan pemerdagangan manusia, konspirasi untuk membantu melanggar undang-undang imigresen dan pengubahan wang haram.
Pendakwa Ogheneruona Iguyovwe menggambarkan pertuduhan konspirasi yang melibatkan “pergerakan sebilangan besar pendatang tanpa izin ke United Kingdom”.
Robinson tidak diminta untuk membuat sebarang pengakuan dan akan muncul di mahkamah jenayah pada 25 November.
Tiga individu lain yang ditahan untuk siasatan berhubung tragedi ini telah dibebaskan dengan jaminan pada hari Ahad.
Seorang lagi pemandu, yang disyaki membawa kontena ke Zeebrugge sebelum menyeberangi Channel ditangkap di pelabuhan Dublin pada hari Sabtu atas tuduhan yang tidak berkaitan.
Tetapi polis Ireland, yang berurusan dengan Essex berkata, lelaki itu adalah pemandu trak biru yang disita di pelabuhan Dublin sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan ke atas kes 39 kematian.
Pada awalnya, polis berkata, 31 mayat lelaki dan lapan wanita yang ditemui itu adalah warga China. Namun, selepas ada keluarga dari Vietnam yang bimbang tentang keselamatan waris mereka yang menjadi mangsa mendorong siasatan terperinci dijalankan.
Pihak berkuasa telah menghantar dokumen kepada kerajaan Vietnam bagi mencari jalan dalam mengenal pasti mangsa-mangsa yang terlibat. – MalaysiaGazette