KUALA LUMPUR – Kerajaan berbelanja sebanyak RM13.9 bilion sejak 2017 hingga 2020 untuk bayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn. Bhd.
Jumlah itu, kata Menteri Kewangan, termasuk RM2.4 bilion untuk tahun ini.
Lim Guan Eng berkata, selain menggunakan dana awam, bayaran-bayaran ini juga bergantung kepada dana pemulihan aset 1MDB.
Setakat ini, kira-kira RM1.45 bilion setakat ini yang berjaya dikembalikan serta kutipan derma orang ramai kepada Tabung Harapan Malaysia sebanyak RM203 juta.
Di samping itu, kerajaan (melalui Kementerian Kewangan dan syarikat MKD lain) telah membuat pembayaran balik hutang sebanyak RM8.8 bilion bagi pihak 1MDB dan SRC untuk tahun 2017 (RM6.7 bilion) dan 2018 (RM2.1 bilion).
“Ini bermakna RM13.9 bilion perlu dibelanjakan sejak 2017 hingga 2020 untuk 1MDB dan SRC,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Guan Eng mendakwa, pembayaran balik hutang-hutang 1MDB dan SRC tersebut telah disembunyikan oleh kerajaan terdahulu dan hanya didedahkan selepas Kerajaan Persekutuan bertukar pada 9 Mei 2018.
Jelas sekali, pembayaran balik kerajaan untuk membiayai kerugian akibat skandal 1MDB dan SRC adalah sebahagian daripada skim penyelewengan kewangan dan salahlaku “kleptokrasi” kerajaan terdahulu, ujarnya.
Menurut Guan Eng, bayangkan betapa besar impak jumlah RM13.9 bilion, yang perlu dibelanjakan sejak 2017 hingga 2020 untuk membiayai kerugian skandal 1MDB dan SRC.
Walau bagaimanapun, katanya, kerajaan ini akan tetap komited menunaikan amanah menjalankan pembangunan dan kebajikan rakyat. – MalaysiaGazette