PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka tidak akan menyerah jawatan Perdana Menteri sehingga selepas selesainya Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan dianjurkan Malaysia pada November 2020.
Sumber daripada PH berkata, adalah penting dan sesuatu yang bermaruah untuk Dr. Mahathir menghadiri persidangan antarabangsa itu yang juga akan dihadiri pemimpin dunia seperti Presiden Xi Jinping dari China.
“Walaupun tidak dinyatakan secara hitam putih bila penyerahan jawatannya, tetapi ia dijangka tidak akan mengambil tempat sebelum APEC,” kata sumber itu kepada Sinchew Daily.
Jelasnya, sebagai mesyuarat terpenting dunia selepas mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, penganjuran APEC juga memastikan tiga jawatan menteri tidak diubah sebelum selesainya sidang kemuncak tersebut.
“Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Menteri Luar memainkan peranan penting dalam penganjuran APEC.
“Tiga jawatan ini tidak harus mempunyai perubahan dalam tempoh setahun akan datang,” kata sumber.
Jelasnya, walaupun ada pihak yang berpendapat Dr. Mahathir harus menyerah jawatan selepas dua tahun, tetapi ada pemimpin PH yang mempunyai pandangan lain.
“Ada yang berpendapat Dr. Mahathir harus menjadi pemimpin pilihan rakyat pertama di dunia yang mempengerusikan mesyuarat APEC sebanyak dua kali.
“Keadaan ini akan membolehkan beliau menyerahkan jawatan dalam keadaan yang baik,” katanya.
Selain itu, ada juga yang berpendapat Dr. Mahathir hanya akan menyerah jawatan selepas Datuk Seri Najib Tun Razak yang terlibat dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipenjarakan. – MalaysiaGazette