Home Nasional Beri PGA kereta perisai buat rondaan sempadan

Beri PGA kereta perisai buat rondaan sempadan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mencadangkan agar Pasukan Gerakan Am (PGA) dibekalkan kereta perisai untuk kegunaan rondaan.

Katanya, ia bagi menjamin keselamatan anggota PGA yang bertugas menjaga sempadan negara.

Beliau memaklumkan telah menyuarakan cadangan itu kepada Kementerian Dalam Negeri.

“Walaupun dalam PGA ada kereta perisau namun yang ada ini sudah lama ada yang sudah 40 tahun. Saya ada buat usulan mengangkat kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN)untuk pihak PDRM dibekalkan APC yang baharu supaya mereka dapat menjalankan rondaan dengan perasaan lebih selamat daripada perbuatan-perbuatan menembak curi,” katanya ketika sidang media Operasi Bersepadu Khazanah di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden serangan mercun pos kawalan 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) Padang Besar pada Isnin yang lalu.

Ia dipercaya serangan hendap dipercayai sekumpulan warga Thailand yang disifatkan Abdul Hamid berunsurkan dendam dan amaran akibat pendedahan aktiviti penyeludupan barang di kawasan sempadan itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

“Besar kemungkinan marah nak tunjukkan siapa berkuasa. Ini satu amaran, dia marah PGAA lakukan sekatan sebab dia nak seludup,” katanya lagi.

Bekerjasama dengan kerajaan Thailand, pihak berkuasa itu menurut beliau sedang menyiasat dalang terhadap perbuatan khianat itu.

“Belum ada tangkapan tapi kerajaan Thailand memberi jaminan akan menyiasat,” tambahnya.

Untuk rekod, pada SPRM baru-baru ini menayangkan rakaman video aktiviti penyeludupan barang di kawasan sempadan Padang Besar.

Tayangan video itu dibuat pada Sidang Media Khas oleh Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkaitan pembolosan sempadan negara akibat daripada aktiviti rasuah baru-baru ini.-MalaysiaGazette