Home Nasional Malaysia akan kelihatan negara usang jika biar kediaman tanpa penghuni

Malaysia akan kelihatan negara usang jika biar kediaman tanpa penghuni

Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Malaysia akan kelihatan seperti negara usang jika isu lambakan kediaman dan hartanah tidak terjual yang kini dianggar mencecah hampir RM100 bilion tidak segera diatasi, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata kerana itu kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah berkenaan termasuk melalui Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan hasilnya sebanyak 21,000 unit kediaman ini bernilai RM13.4 billion telah berjaya dijual dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Saya juga rasa seram bila mendengar hampir RM100 bilion nilai kediaman yang tidak terjual, bayangkan sekiranya kediaman itu tidak ada penghuni, Malaysia akan kelihatan seperti negara usang.

“Sebab itu kita lakukan kempen ini (HOC)…dan kita telah panjangkan lagi sepanjang hujung tahun ini, ada juga permintaan kita sambung 2020. Ini adalah usaha supaya rumah berharga tinggi dapat dijual dan bantu menghabis stok unit tergantung ini,” katanya pada sesi jawab lisani.

Beliau menjawab soalan tambahan Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau) yang bertanyakan kesan lambakan kediaman mewah kepada ekonomi negara jika masalah itu tidak diatasi.

Zuraida turut memaklumkan negara sedang membangunkan analisis data utama bagi memberikan unjuran yang lebih tepat dan bersepadu mengenai statistik harga rumah mewah di seluruh negara.

Menurutnya sistem data itu akan dibangunkan bersama oleh Jabatan Perumahan Negara dengan melibatkan setiap kerajaan negeri.

“Ketika ini, polisi kerajaan negeri berbeza, ada yang buat 30 peratus daripada komersial projek kos rendah, ada negeri lainnya hingga 50 peratus, tetapi tiada perkiraan (statistik) menyeluruh daripada segi harga penjualan harga rumah mewah dan rendah.

“Jadi kementerian berharap dengan unjuran yang lebih tepat pada masa akan datang dapat menangani masalah lambakan rumah mewah,” katanya sebagai menjawab pertanyaan asal Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) tentang sasaran yang diletakkan kerajaan dalam pemilikan rumah mewah oleh warga asing di negara ini.

Zuraida juga berkata penjualan rumah mewah bagi pembeli asing tertakluk kepada kerajaan negeri dan harga threshold berbeza di setiap negeri.

Sebagai contoh, katanya, Selangor, Terengganu, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah RM2 juta manakala Kelantan dan Perak RM1 juta.

— BERNAMA