Home Ekonomi PLUS: Banyak lagi yang perlu dipertimbangkan selain harga – KWSP

PLUS: Banyak lagi yang perlu dipertimbangkan selain harga – KWSP

Alizakri Alias

KUALA LUMPUR- “Banyak lagi yang perlu dipertimbangkan selain harga,” ringkas jawapan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tunku Alizakri Alias ketika ditanyakan apakah entiti tersebut berminat menerima tawaran terbaharu Widad Group of Business (WDG) hari ini.

Dengan meningkatkan tawaran kepada RM5.3 bilion untuk menguasai 100 peratus kepentingan PLUS Expressway Bhd. (PLUS) serta memberikan pengecualian pampasan sebanyak RM3.038 bilion dan andaian hutang RM30 bilion yang membawa kepada nilai hutang perniagaan untuk ditawarkan sebanyak RM38.338 bilion, WBG merupakan pembida tertinggi syarikat pengendali lebuh raya itu setakat ini.

Bercakap kepada MalaysiaGazette di sini hari ini, Tunku Alizakri berkata, kertas cadangan terbaharu oleh WBG itu masih belum diterima oleh KWSP selaku pemegang 49 peratus kepentingan dalam PLUS.

“Saya tidak tahu mengenai kertas cadangan tersebut, kami belum menerimanya jadi saya tidak mahu komen,” katanya.

Dalam maklum balas terhadap Belanjawan 2020 yang lalu, Tunku Alizakri pernah mengeluarkan kenyataan, KWSP memberi jaminan tidak akan melepaskan PLUS untuk sebarang tawaran yang lebih rendah daripada nilai saksama.

Terdahulu, ketika mengulas isu yang sama, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Datuk Shahril Ridza Ridzuan menegaskan, sayap pelaburan negara itu tetap tidak berminat untuk menjual PLUS.

Khazanah memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS manakala bakinya dimiliki KWSP.- MalaysiaGazette

 

Khazanah tetap tidak berminat jual PLUS – Shahril Ridza