Home Ekonomi PNB ajak GLIC lain tangani isu urus tadbir

PNB ajak GLIC lain tangani isu urus tadbir

Abdul Jalil Abdul Rasheed

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) akan bekerjasama dengan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) yang lain untuk menangani isu-isu urus tadbir dalam syarikat-syarikat yang menerima pelaburan mereka (investee companies).

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jalil Rasheed, usaha itu termasuk bertindak secara kolektif semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat.

Ini jelasnya, adalah untuk memastikan standard urus tadbir yang lebih baik dapat dilaksanakan dalam korporat Malaysia.

“PNB akan bekerjasama dengan GLIC-GLIC yang di dalam memastikan isu-isu urus tadbir dapat ditangani dalam syarikat-syarikat yang menerima pelaburan kami,” katanya semasa berucap menutup Persidangan Korporat PNB 2019 di sini hari ini.

Jalil yang baharu dilantik sebagai peneraju pengurus terbesar negara itu pada 1 Oktober lalu menegaskan, PNB bakal memainkan peranan lebih aktif sebagai pelabur selepas ini.

Ini termasuk penyertaan yang lebih menonjol di peringkat lembaga pengarah di samping bekerjasama erat dengan pihak pengurusan syarikat di dalam merangka strategi.

PNB juga katanya akan membina sebuah rangka kerja yang akan menentukan apa peranan kami dengan lebih jelas.

“Kami juga berhasrat untuk memacu kecemerlangan operasi dengan memberi pemantauan yang lebih baik terhadap sasaran prestasi yang boleh diukur (bagi syarikat-syarikat yang menerima pelaburannya) di samping melaksanakan remunerasi yang lebih baik selari dengan harapan pemegang saham,” katanya lagi.- MalaysiaGazette