KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim percaya Kedah dan JDT mempunyai peluang seimbang untuk muncul juara Piala Malaysia 2019 menjelang perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Tunku Ismail bertitah, segala kemungkinan boleh terjadi dalam perlawanan berintensiti tinggi terutama melibatkan aksi final.
“50-50. Ini aksi bola sepak final. Apa-apapun boleh berlaku. Saya ucapkan yang terbaik untuk kedua-dua pasukan,” titah Tunku Ismail kepada pemberita pada sesi lawatan ke ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di sini, hari ini.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertembung di final saingan berprestij itu adalah pada edisi 2017 dan menyaksikan JDT mencatat kemenangan 2-0 sekali gus menamatkan penantian 32 tahun bergelar juara.
JDT yang menjuarai Piala Sumbangsih empat kali dan Liga Super buat kali keenam berturut-turut musim ini, mengintai gelaran juara Piala Malaysia kedua dalam tempoh tiga tahun selepas mara ke final dengan menewaskan Selangor 5-1 secara agregat.
Kedah pula yang dinobatkan sebagai juara Piala FA musim ini berdepan situasi mendebarkan sebelum mara ke final selepas mengatasi Pahang dengan agregat 8-8.
Sementara itu, Tunku Ismail tidak menolak kemungkinan JDT mampu muncul juara saingan Liga Juara-Juara AFC suatu hari nanti, namun mengakui perjalanan skuad Harimau Selatan itu masih panjang.
Bagaimanapun, baginda bertitah peluang beraksi dalam saingan itu ketika ini memberi pendedahan berguna khususnya kepada barisan pemain.
“Projek kami (JDT) baru beberapa tahun berbanding kelab gergasi Asia lain yang sudah lama beraksi dalam saingan berprestij ini…dengan mereka punya program pembangunan dan segalanya jadi untuk memenangi ACL hampir mustahil pada masa ini tetapi dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku.
“Saya tidak tumpukan tentang perkara itu…saya lebih suka apabila pasukan JDT berada dalam ACL kerana kualiti saingan kejohanannya lebih memberi pendedahan kepada pemain tempatan yang bermain di JDT,” titah baginda. – Bernama