KULAI – Karmaine Sardini yang diumumkan sebagai calon Bersatu untuk Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai menafikan pembabitannya dalam mengeluarkan poster “undilah calon Melayu dan Islam” yang tersebar dalam media sosial.
Karmaine memberitahu Sinchew Daily, memandangkan beliau hanya diumumkan sebagai calon pada 28 Oktober, maka semua persiapan termasuk penyediaan poster masih sedang dijalankan.
Jelasnya, poster Pakatan Harapan hanya akan dilancarkan selepas penamaan calon.
Karmaine berkata, beliau juga akan memberi khidmat kepada semua kaum dan tidak terhad kepada orang Melayu dan orang Islam sahaja.
Poster pilihan raya berwarna biru muda dengan gambar Karmaine sebagai calon Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai telah tersebar dalam media sosial.
Poster tersebut bagaimanapun mencetus pertanyaan kerana tertera “undilah calon Melayu dan Islam”, seakan-akan memainkan sentimen kaum dan agama.
Semakan MalaysiaGazette bagaimanapun mendapati poster itu mirip satu poster Karmaine semasa Pilihan Raya Umum 2018 ketika beliau bertanding di Pontian.
Yang berbeza antara dua poster adalah perkataan Pontian digantikan Tanjong Piai manakala lambang PKR dan nombor telefon dipadamkan tetapi diganti dengan perkataan “Undilah calon Melayu dan Islam” . – MalaysiaGazette