Home Dunia Aplikasi Palestine VR bolehkan pengguna lihat kehidupan harian penduduk Palestin

Aplikasi Palestine VR bolehkan pengguna lihat kehidupan harian penduduk Palestin

RAMALLAH – Sebuah aplikasi realiti maya dilancarkan bagi membolehkan penggunanya, termasuk mereka yang dihalang memasuki Israel, melawat wilayah Palestin yang diceroboh dengan akses kepada kehidupan harian penduduk Palestin.

Aplikasi dikenali Palestine VR yang boleh didapati di Android dan iOS itu dibangunkan oleh Palestine Institute for Public Diplomacy (PIPD), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berkongsi kisah Palestin dengan dunia.

Menurut kenyataan PIPD, aplikasi itu juga akan membolehkan pengguna mengikuti sorotan penyertaan Anggota Kongres Amerika Syarikat, Rashida Tlaib dan Ilhan Omar yang dilarang Israel melakukan lawatan.

Menerusi aplikasi itu, pengguna boleh melihat tapak sejarah seperti Dome of Rock di Baitulmaqdis dan bagaimana peneroka haram Israel menghalau penduduk Palestin dari kediaman mereka di bandar lama Baitulmaqdis.

Aplikasi itu turut memaparkan bagaimana pemisahan besar dilakukan di sekitar Kem Pelarian Aida, berjalan di bandar lama Hebron dengan bekas tentera Israel dan penganjur hak asasi manusia Palestin yang berkongsi pandangan bagaimana serangan ganas dilakukan oleh peneroka haram Israel terhadap kehidupan penduduk Palestin di Hebron yang menukar pusat perniagaan kepada bandar yang ditinggalkan.

Pengguna Palestine VR juga akan berkenalan dengan komuniti Badwi Khan al Ahmar yang melindungi rumah dan sekolah mereka daripada dirobohkan kerajaan Israel

“Mereka yang melawat Palestin dan didedahkan kepada realiti penindasan, diskriminasi dan kehilangan kediaman selalunya berasa hiba dengan apa yang mereka lihat.

“Dengan Palestine VR, kami mahu membawa realiti ini kepada orang ramai di seluruh dunia secara terus.

“Kami berharap ia memberi inspirasi kepada mereka untuk menegakkan keadilan dan sejarah,” kata Pengarah Eksekutif PIPD, Salem Barahmeh. – Agensi