Home Politik Undi calon PH lebarkan dominasi DAP, kata Dewan Ulamak Pas

Undi calon PH lebarkan dominasi DAP, kata Dewan Ulamak Pas

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menyeru pengundi di Tanjung Piai supaya tidak memberikan sebarang undi kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi mengelakkan kuasa DAP semakin melebar dalam mendominasi pakatan itu.

Ketuanya, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menyifatkan tindakan yang menjurus kepada mengekalkan kuasa DAP dalam PH itu satu kemudaratan besar yang mesti dielakkan.

Beliau turut menegaskan pendirian DUPP yang menyokong calon Barisan Nasional (BN) dari parti MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dalam PRK Tanjung Piai pada 16 November ini berasaskan kepada semangat Muafakat Nasional yang telah dimeterai antara Pas dan UMNO 14 September lalu.

“Secara asasnya apa sahaja syarat bersama pada perkara yang tidak mengandungi unsur haram dan percanggahan syariat adalah dihormati dan disempurnakan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berkata, kebiadapan yang ditunjukkan oleh DAP dalam mendominasi PH sangat memberikan kesan negatif ke atas agama Islam, ummah dan negara.

Katanya, walaupun calon Muafakat Nasional adalah bukan Islam namun penentangan DUPP bukan berasas sentimen berlain agama dna bangsa sebaliknya kerana DAP begitu keras memusuhi agenda umat Islam.

“Menyelamatkan negara dan agama Islam dari terus menjadi mangsa kerakusan PH merupakan satu kewajipan pada masa kini. Maka apa sahaja usaha untuk menjayakan kewajipan ini sekaligus juga menjadi wajib,” katanya.

Muhammad Zawawi turut mengingatkan pengundi di Tanjung Piai supaya keluar mengundi dna memilih calon Muafakat Nasional dalam usaha menyelamatkan negara menerusi kerjasama Muafakat Nasional yang telah digerakkan ini secara konsisten dan serius. – MalaysiaGazette