Home Nasional JPJ keluarkan lebih 1.02 juta notis sejak Januari hingga semalam

JPJ keluarkan lebih 1.02 juta notis sejak Januari hingga semalam

Datuk Shaharuddin Khalid

KUALA LUMPUR – Lebih 1.02 juta notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara bagi tempoh awal Januari lepas sehingga semalam.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 212,158 saman dikeluarkan melibatkan kesalahan utama seperti melanggar lampu isyarat, melebihi had muatan, muatan berbahaya, tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak memakai topi keledar.

“Kesalahan lain ialah memotong di garisan berkembar, memotong di sebelah kiri, menggunakan lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi bersepadu JPJ Kuala Lumpur di Jalan Bangsar, di sini, awal pagi tadi.

Operasi dari pukul 8 malam hingga 1 pagi itu disertai 127 pegawai dan anggota penguat kuasa antaranya melibatkan JPJ, Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Keselamatan Jalan Raya.

Shaharuddin berkata dalam operasi itu, sebanyak 2,450 kenderaan diperiksa dan 220 kenderaan diambil tindakan dalam operasi berkenaan.

“Selain itu, sebanyak 603 notis dikeluarkan dalam operasi ini melibatkan kesalahan tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, cermin gelap, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan lain-lain selain menyita 20 motosikal.

“Pada masa sama, enam lelaki berusia antara 15 hingga 50 tahun ditahan AADK selepas ujian saringan awal air kencing yang dilakukan didapati positif dadah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata lebih 30.8 juta kenderaan berdaftar direkodkan pihaknya membabitkan 20.6 juta kenderaan aktif dan 10.2 juta kenderaan tidak aktif.

“Selain itu, kami turut merekodkan sebanyak 95,984 pendaftaran baharu kenderaan bagi tempoh awal Januari lepas sehingga semalam.

“Kami juga merekodkan lebih 15 juta pemandu berdaftar selain 27,551 pemandu baharu direkodkan dalam tempoh sama,” katanya. – MalaysiaGazette