Home Nasional Berakhir sudah TV analog

Berakhir sudah TV analog

SKMM
SKMM gesa orang ramai manfaatkan Jendela Map bagi mengetahui status liputan rangkaian perkhidmatan jalur lebar di kawasan tempat tinggal.

KUALA LUMPUR – Proses penutupan siaran TV terestrial analog di Sabah dan Sarawak telah berlangsung dengan lancar dan jayanya apabila siaran berkenaan ditutup sepenuhnya secara rasmi pada pukul 12.30 tengah malam tadi di 42 stesen pemancar TV analog merangkumi kedua-dua buah negeri berkenaan.

Ia membabitkan 16 stesen di Sabah dan 26 di Sarawak.

Penutupan siaran TV analog itu menandakan berakhirnya era penyiaran TV analog yang ditawarkan secara percuma sejak 1963.

Dengan berakhirnya era TV analog, negara yang kini menuju ke arah pendigitalan dalam landskap penyiaran.

Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM) berkata, bagi memastikan proses peralihan ini berjalan dengan lancar, SKMM dengan kerjasama MYTV akan terus berada di lokasi-lokasi dan memantau perkembangan dari semasa ke semasa.

Selain itu, usaha-usaha untuk menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh pengguna juga diberikan perhatian agar setiap rakyat Malaysia dapat menikmati siaran TV Digital myFreeview yang berkualiti.

Menerusi siaran TV Digital myFreeview ini, ia menjanjikan imej gambar yang lebih tajam, bunyi yang berkualiti tinggi dan perkhidmatan TV interaktif yang akan memacu keperluan ekonomi, sosial dan pendidikan negara serta rakyatnya.

Malah, penonton pula berpeluang untuk menikmati pelbagai saluran TV, radio, dan aplikasi-aplikasi baharu seperti membeli-belah dalam talian, pembelajaran interaktif dan banyak lagi melalui 14 saluran TV dan enam (6) saluran radio termasuk TV1, TV2, TV3, NTV7, 8TV, TV9, TV Al Hijrah, Astro Go Shop dan Bernama News Channel (BNC).

“Rakyat boleh memanfaatkan kewujudan aplikasi-aplikasi baharu itu untuk menambah sumber pendapatan dan mempersiapkan diri mereka untuk berhadapan dengan era digital yang semakin berkembang.

“Bagi golongan seniman dalam industri kreatif, mereka berpeluang untuk mengeluarkan pelbagai kandungan untuk tatapan rakyat Malaysia,” kata SKMM. – MalaysiaGazette