Home Nasional Hanya 65 peratus kekal terima air percuma Mac depan

Hanya 65 peratus kekal terima air percuma Mac depan

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berucap semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2020 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 01 NOVEMBER 2019

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan sebanyak 65 peratus penerima skim air percuma pada masa ini akan terus menikmati insensif itu apabila Skim Air Darul Ehsan (SADE) diperkenalkan pada tahun depan.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, apabila skim baharu itu dikuatkuasa pada Mac 2020, hanya golongan berpendapatan rendah atau B40 akan menerima 20 meter padu air percuma.

“Anggaran kita 65 peratus yang menerima air bersih percuma 20 meter padu akan tetap menerima air percuma kalau semua mendaftar.

“Namanya ditukar cuma ia tidak diberikan semua, kalau dulu cross the board, sekarang kita tumpu kepada isi rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah,” katanya pada sidang media di bangunan Annex, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan penjajaran semula Program Pemberian Air Percuma pada 23 November lalu bagi mencapai matlamat sebenar meringankan beban kumpulan sasar yang memerlukan dan layak.

Penjajaran semula Skim Pemberian Air Percuma akan dikuatkuasakan bermula 1 Mac depan.

Amirudin juga berkata, sehingga tarikh kuat kuasa SADE, semua penerima air percuma sedia ada masih boleh menikmati insentif itu.

“Anggaran kita 65 peratus daripada akaun itu akan menerima air percuma pada tahun hadapan.

“Ia bermula Mac 2020, sampai tarikh itu kita masih beri air percuma kepada semua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette