Home Nasional Najib luang masa lawat warga emas hidap strok

Najib luang masa lawat warga emas hidap strok

PEKAN, 22 April -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mesra meluangkan masa melawat warga emas yang mengidap penyakit strok, Zainudin Sulong, 83, di Kampung Telok hari ini.?Zainudin yang ditemani isteri Noriah Mohamed, 62, terharu dengan kesudian Perdana Menteri melawat suaminya yang terlantar sejak lima tahun lalu.?--fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

PEKAN – Keinginan seorang warga emas yang mengidap penyakit strok di Kampung Telok dekat sini untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tercapai apabila pemimpin nombor satu negara meluangkan masa melawatnya di kediamannya hari ini.

Zainudin Sulong, 83, terlantar sakit sejak lima tahun lepas tidak menyangka impiannya akan menjadi kenyataan berikutan menyedari kepadatan jadual Najib sebagai pemimpin negara dan Anggota Parlimen Pekan.

“Selalunya nampak dalam televisyen sahaja, namun hari ini tidak sangka beliau berada di depan mata dan sudi menziarah saya walaupun sibuk dengan tugasannya hari ini,” katanya kepada Bernama dalam nada sebak dan mengalirkan air mata.

Perdana Menteri turut disertai Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Manis Datuk Khairuddin Mahmud, meluangkan masa kira-kira 10 minit bertanya khabar Zainudin.

Zainudin yang pernah menjadi Setiausaha UMNO Cawangan Kampung Telok sekitar tahun 50-an dan 60-an itu berkata dia dimaklumkan yang Najib akan datang melawatnya oleh isterinya Noriah Mohamed, 62, minggu lepas.

Sementara itu, Noriah berkata suaminya yang merupakan pesara kerajaan tidak pernah bertemu mata dengan Najib secara dekat, namun pernah beberapa kali berjumpa bapanya Allahyarham Tun Razak Hussein yang ketika itu adalah perdana menteri, sewaktu program turun padang ke kawasan kampung.

Noriah berkata suaminya itu amat mengagumi Najib dan sering kali menyebut ketokohan perdana menteri dalam mentadbir negara walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan dan masalah.

Menurutnya, kehadiran Najib di rumahnya hari ini sedikit sebanyak memberikan semangat kepada suaminya itu supaya terus tabah.-MalaysiaGazette