Home PRK Tanjung Piai Enam penjuru di Tanjung Piai

Enam penjuru di Tanjung Piai

Calon-calon yang bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai (dari,kiri) Bebas, Ang Chuan Lock, Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa), Datuk Ir Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz, Pakatan Harapan, Karmaine Sardini, Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng, Gerakan, Wendy Subramaniam dan Bebas, Faridah Aryani Abd Ghaffar bergambar sambil mengangkat tangan pada hari Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 Nov ini menyaksikan pertandingan enam penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gerakan, Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua orang calon Bebas.

PH yang dalam misi mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu, meletakkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, manakala BN mempertaruhkan bekas penyandang kerusi itu, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, 55, untuk merampas kembali kerusi yang pernah beliau menangi pada PRU12 dan 13.

Turut mencuba nasib adalah parti Gerakan yang mencalonkan Timbalan Setiausaha Agung Nasional dan Naib Ketua Wanita Nasional parti itu, Wendy Subramaniam, 38, Presiden Berjasa Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, 56, dan dua calon Bebas iaitu Ang Chuan Lock, 49, dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar, 43.

Keputusan pencalonan diumumkan Pegawai Pengurus PRK Tanjung Piai Zulkifly Mohd Tahir di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini

Proses pencalonan yang berlangsung selama sejam ditutup pada 10 pagi.

— BERNAMA