KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mendakwa Lim Guan Eng kelakar kerana mendakwa beliau berbohong berhubung postingnya tentang kedudukan hutang negara.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, pada 29 Oktober lalu beliau membuat posting bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah terlebih pinjam RM19 bilion setakat hari itu dan jika tidak diperbetulkan maka defisit negara akan mengalami perbezaan sangat besar.
Dalam posting itu, Najib turut mendakwa PH telah pinjam RM10 bilion dalam bulan Oktober tetapi setakat 29 Oktober, kerajaan belum bayar balik satu sen hutang untuk bulan tersebut.
Selepas posting itu, beliau mendakwa, kerajaan PH cepat-cepat bayar balik RM11.8 bilion pada 31 Oktober.
“Ya, bayar sebanyak RM11.8 bilion pada satu hari sahaja walaupun PH sering kata kita sudah bankrap.
“Selepas bayar balik pada 31 Oktober, Guan Eng pun keluarkan satu siaran akhbar bahawa “siapa yang kata kerajaan PH tidak bayar satu sen hutang pada bulan Oktober merupakan pembohong tegar, jahil atau tidak mampu membaca data kewangan secara tepat”,” kata Najib.
Bagaimanapun, Najib mempertahankan bahawa kenyataan belum bayar balik hutang itu dibuat pada 29 Oktober.
“31 Oktober, kamu bayar balik RM11.8 bilion dalam satu hari. 2 November, kamu buat siaran media kata saya berbohong pada 29 Oktober? Mana akal?,” soal Najib.
Sedangkan, tambahnya, siaran media yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan itu mengesahkan bahawa setelah bayar balik RM11.8 bilion, kerajaan masih lari bajet.
Ini kerana, setakat akhir bulan Oktober (termasuk bayaran balik RM11.8b itu), kerajaan masih terlebih pinjam kerana jumlah pinjaman bersih adalah RM59.3 bilion – iaitu RM7.4 bilion lebih besar daripada rancangan RM51.9 bilion yang dijanji.
“Kita tengok jka dia akan perbetulkan keadaan ini pada dua bulan terakhir tahun ini. Saya akan terus pantau,” ujarnya. – MalaysiaGazette