PEKAN NANAS – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail optimis calon yang ditonjolkan oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dapat diterima oleh pengundi-pengundi di kawasan berkenaan.
Ini kerana, calon tersebut Datuk Wee Jeck Seng merupakan seorang tokoh berpengalaman dan sangat dikenali oleh pengundi-pengundi di kawasan itu, katanya yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang.
Menurutnya, perkara tersebut merupakan kelebihan kepada Jeck Seng lebih-lebih lagi beliau merupakan seorang individu yang suka menghulur khidmat kepada masyarakat.
“Saya yakin, Insya Allah dalam PRK Tanjung Piai ini ia akan memihak kepada BN. Tambahan pula calon yang diturunkan adalah tokoh yang berpengalaman dan dikenali ramai oleh penduduk di sini.
“Beliau sebelum ini pernah menjadi wakil rakyat dan telah memberikan khidmat yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan ziarah di rumah seorang warga emas yang juga veteran UMNO di sini hari ini.
Dalam pada itu Wan Rosdy berkata, sejak penamaan calon semalam dan kempen yang diadakan setakat ini beliau melihat jentera BN dari Pahang yang dibawa bagi membantu kempen menunjukkan semangat yang berkobar-kobar dalam memastikan kemenangan berpihak kepada parti itu.
Ujarnya, jentera yang dibawa turut melakukan pelbagai tugas dan sentiasa bergerak dari semasa ke semasa.
Katanya lagi, pada masa ini jentera BN lebih selesa berkempen di kedai-kedai kopi, berkunjung dari rumah ke rumah serta bertemu pengundi di masjid-masjid dan bersolat berjemaah bersama.
Ketika ditanya sama ada terdapat unsur-unsur provokasi dilakukan oleh parti-parti lawan, Wan Rosdy berkata, setakat ini mereka belum lagi bertemu dengan situasi itu dan mungkin ianya masih terlalu awal.
“Setakat ini saya tak jumpa provokasi lagi mungkin awal lagi dan mereka simpan. Saya percaya pengundi sangat bijak untuk menilai dengan apa yang telah berlaku selepas 9 Mei tahun lepas.
“Pengundi-pengundi ini pun saya tak sempat bercakap lagi dia dah bercakap dengan kita pasal rasa tak puas hati (dengan kerajaan). Ini satu yang sangat baik kepada BN,” ujarnya. – MalaysiaGazette