KUCHING – Petronas kini dalam proses memilih rakan kongsi untuk bersama-sama membangunkan medan gas SK316 di Sarawak, dan bukan menjualnya seperti yang dilaporkan media.
“Tindakan ke atas SK 316 bertujuan mengenal pasti rakan yang mempunyai teknologi untuk membangunkan dan melakukan eksplorasi di blok berkenaan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
Wan Zulkiflee berkata demikian sebagai menjelaskan laporan yang menyebut Petronas kononnya menimbang untuk menjual kepentingannya dalam blok gas luar pesisir SK316 di Sarawak.
Menurut Wan Zulkiflee, SK 316 mengandungi gas masam yang sangat tinggi selain Co2 yang mempunyai risiko tinggi dan memerlukan teknologi tinggi untuk membangunkannya.
Reuters dalam laporannya baru-baru ini (20 Feb, 2017), melaporkan di Singapura bahawa Petronas mahu menjual 49 peratus kepentingnya dalam dalam blok gas luar pesisir SK316 di Sarawak membabitkan US$1 bilion (RM4.41 bilion) untuk mengumpul tunai dan mengurangkan kos pembangunan.
Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengesahkan keajaan negeri sudah dimaklumkan mengenai projek itu namun memutuskan untuk tidak mengambil risiko.
“Projek itu menelan belanja berbilion ringgit dan berisiko tinggi,”katanya dan menambah kerajaan negeri mengamalkan langkah pelaburan berhemat bagi memastikan pulangan yang menguntungkan.- MalaysiaGazette