KUALA NERUS – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dinobat sebagai johan Pertandingan Debat Alam Sekitar ke-26 yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini malam tadi, dengan mengalahkan pendebat dari 27 buah Institusi Pengajian Tinggi.
UIAM yang dibarisi empat pendebat iaitu Muhammad Ilham Hafiz Azmi, Muhammad Wafi Anwar Roslan, Muhammad Aniq Qawiem Mohd Sazaly dan Anis Afilna Hassan Sanusi, kesemuanya berusia 19 tahun, pulang dengan hadiah piala pusingan, piala iringan, wang tunai RM8,000 dan sijil penyertaan.
Selain kemenangan pasukan, Muhammad Wafi Anwar yang juga mahasiswa tahun satu Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim diumumkan sebagai pendebat terbaik, sekali gus melayakkan beliau membawa pulang hadiah termasuk wang tunai RM2,000.
Muhammad Wafi Anwar berkata kemenangan itu adalah hadiah manis buat pasukannya yang baru memulakan semester pertama pengajian di UIAM.
“Debat alam sekitar amat berbeza dan lebih mencabar berbanding debat lain yang pernah saya sertai sebelum ini. Ia memerlukan kami meneroka fakta yang lebih mendalam tentang alam sekitar dan memahami isu berkaitan supaya dapat mengemukakan hujah yang padat dan mantap,” katanya.
Naib johan diraih Universiti Malaya yang membawa pulang hadiah piala iringan, wang tunai RM5,000 dan sijil penyertaan manakala tempat ketiga dirangkul oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang memenangi piala iringan, wang tunai RM1,500 dan sijil penyertaan.
Hadiah disampaikan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis.
Turut hadir Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Ketua Prestasi Sosial & Alam Sekitar, Bahagian Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar Kumpulan Petronas, Ungku Haslina Ungku M.Tahir, yang merupakan rakan penganjur Debat Alam Sekitar ke-26.
Isnaraissah berkata selain mengasah bakat berpidato, pertandingan debat alam sekitar yang diadakan setiap tahun dapat meningkatkan kesedaran pelajar tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang semakin tercemar.
Menurut beliau banyak isu yang boleh diketengahkan sebagai tajuk perdebatan, antaranya pemanasan global dan pemanasan iklim yang banyak dibahas di peringkat antarabangsa.
“Pada tahun ini juga kita lakukan kelainan iaitu tidak menyediakan air minuman dalam botol serta tidak langsung menggunakan kertas sepanjang pertandingan bagi sebarang tujuan untuk mengelak pencemaran dan menyelamatkan alam sekitar,” katanya.
— BERNAMA