Home Utama Negara luar lindungi penjenayah Jho Low adalah tidak bertanggungjawab

Negara luar lindungi penjenayah Jho Low adalah tidak bertanggungjawab

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ahmad Hamid Bador. foto FAREEZ FADZIL, 25 SEPTEMBER 2019

TAWAU – Tindakan negara tertentu yang melindungi ahli perniagaan paling dikehendaki Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, negara berkenaan juga mengambil pendekatan enggan memberi kerjasama kepada Malaysia sekali gus menyukarkan tugas pihak berkuasa.

“Kita memohon kerjasama negara berkenaan untuk menghantar (Jho Low) kembali ke sini, tetapi dia seolah-olah kebal dengan mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa negara itu.

“Pelbagai kaedah kita guna, tetapi pelbagai alasan (negara itu) diberikan sehingga ada menyatakan dia (Jho Low) melakukan pembedahan wajah,” katanya.

Abdul Hamid berkata demikian kepada pemberita selepas selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Surat Penghargaan Ketua Polis Negara kepada 16 penerima anggota dan pegawai PGA di Markas Batalion 14 PGA Tawau, hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan berusaha sehingga hujung tahun ini bagi membawa pulang penjenayah dikehendaki negara itu.

“Saya masih guna pendekatan dan bersedia bekerjasama dengan pihak tersebut, apa sahaja syarat yang dia mahu, saya bersedia mendengar, tetapi yang penting penjenayah ini mesti diserahkan kembali kepada kita,” katanya lagi,

Bagi Abdul Hamid, dia bersangka baik dengan semua negara jika berkaitan jenayah.

Menurutnya, mana-mana negara perlu bekerjasama bukan bertindak melindungi penjenayah ekoran ada kaitan politik sebelum ini.

“Ini jenayah, dia (Jho Low) merompak wang sebuah negara dan dia mendapat perlindungan di sebuah negara lain,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata pihaknya sedang menyiasat dakwaan ahli perniagaan yang terlibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu memiliki pasport Cyprus.

“Kita terima maklumat mengenai perkara itu, dia mengeksploitasi mereka (negara berkenaan) yang memerlukan wang untuk ekonomi,” katanya lagi.

Dalam perkara berasingan, Abdul Hamid menyarankan peguam bagi tahanan LTTE yang mendakwa didera dan diseksa anggota berkuasa supaya tampil membuat laporan.

“Saya yakin dengan anak buah saya, kamera litar tertutup (CCTV) ada, jadi saya mengalu-alukan, kalau dia ada bukti, tampil ke hadapan, atau mengadu kepada hakim, dan sama-sama kita berhujah di mahkmah,” katanya.

Menurut Abdul Hamid, setiap anggota dan pegawai polis tahu akan hak-hak tahanan mengikut undang-undang.

“Saya sendiri mengambil berat hal ini, saya tidak benarkan mereka (tahanan LTTE) dijentik pun,” katanya. – MalaysiaGazette