SHAH ALAM – Membuka tirai persembahan dengan lagu popular Chemistry dengan penuh bertenaga membuktikan band Butterfingers tidak pernah kehilangan taring mereka.
Sabtu lalu, bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, Emmet, Loque, Kadak dan Loko berjaya mengubati kerinduan para peminat pada band yang popular sekitar akhir 1990-an.
Kebanjiran kira-kira 8,000 peminat yang hadir dari seluruh pelosok negara itu menunjukkan betapa kuatnya sokongan peminat terhadap band ini meskipun telah lebih 11 tahun tidak melahirkan album baru serta kurang aktif muncul di media masa mahupun pentas-pentas acara.
Konsert Ulangtahun ke-20 Butterfingers- Transcedence berlangsung hampir tiga jam dengan 27 lagu dipersembahkan secara bertenaga oleh mereka.
Para penonton yang turut sama menyanyi, bertepuk tangan dan menari sepanjang konsert terutama apabila lagu-lagu popular yang mengangkat nama Butterfingers seperti Chemistry, Epitome, Mystery dan Girl Friday didendangkan.
Malah terdapat ruang untuk memanjat dipasang di pentas utama membolehkan peminat-peminat untuk melakukan body slam.
Bagaimanapun, di saat seluruh penonton bersorak dan penuh adrenalin, persembahan dikejutkan dengan berita mengenai basis Butterfingers, Kadak yang tiba-tiba diserang sesak nafas.
Loque selaku pemain gitar utama menenangkan penonton dan berkongsi berita tersebut.
Selepas persembahan terhenti seketika, Emmet, Loque dan Loko membuat keputusan untuk meneruskan konsert tanpa kehadiran Kadak yang ketika itu difahamkan telah dihantar ke Hospital Shah Alam bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Namun begitu, insiden berkenaan tidak menjejaskan momentum persembahan yang sudah pun memasuki minit-minit terakhir.
Pastinya, kira-kira 8,000 penonton yang mula membanjiiri Stadium Malawati sejak jam 6 petang Sabtu lalu pulang dengan senyum lebar dan puas hati.
Sebuah kerinduan pada muzik grunge dengan elemen tempatan unik yang pernah menjadi halwa telinga masing-masing lebih 20 tahun lalu pastinya sudah terubat.
Tambahan pula persembahan Butterfingers pada malam tersebut bukan sahaja tidak pernah berubah malah semakin hebat! – MalaysiaGazette