KUALA LUMPUR – Kerajaan belum lagi memberi sebarang keputusan dasar berhubung cadangan mewujudkan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) yang terletak bersempadan dengan Melaka dan Negeri Sembilan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, cadangan pembangunan KLIP di bawah inisiatif pembangunan pelabuhan oleh sektor swasta.
“Jadi, buat masa ini kerajaan belum melaksanakan sebarang keputusan polisi berhubung cadangan tersebut,” kata Anthony di Dewan Rakyat.
Menurut beliau lagi, berdasarkan pelan pembangunan utama, KLIP akan berfungsi sebagai pelabuhan industri, yang akan menjadi hab bunkering dan pelabuhan perlindungan kapal dagang yang melalui Selat Melaka,
Sekiranya projek itu diluluskan, tumpuan utamanya adalah untuk menampung industri minyak dan gas.
Jelas beliau, Kementerian Pengangkutan berpandangan KLIP tidak wajar dijadikan pelabuhan kontena kerana berhampiran dengan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Pada masa ini, cadangan itu sedang diteliti oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara (NPPC).
Penelitian itu termasuk mencadangkan agar pemaju projek menambah jarak dari pelabuhan dan sempadan maritim Negeri Sembilan, dan mengurangkan tanah yang ditebus di sebelah Melaka.
Anthony berkata, projek ini juga perlu memasukkan Laporan Impak Ekonomi untuk membuktikan manfaat ekonominya melebihi kos sosial dan persekitaran dan mengambil kira Kajian Strategi Pelabuhan Negara yang dijalankan oleh Jabatan Perdana Menteri dan Kumpulan Bank Dunia pada tahun 2016.
Turut diambil kira ialah lokasi sumber tanah untuk melakukan penambakan.
“Kerajaan bersedia untuk menyokong projek itu tetapi bergantung kepada pemaju, sama ada boleh bertindak berdasarkan keperluan yang digariskan oleh NPPC,” katanya.
KLIP adalah projek yang akan dilaksanakan oleh TAG Marine Sdn Bhd dengan pelabur dari China.
Kos pembinaan KLIP dianggarkan RM12.5 bilion. – MalaysiaGazette