Home Sukan Ada masalah peribadi, Ifwat tarik diri

Ada masalah peribadi, Ifwat tarik diri

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe ketika sesi latihan bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Padang Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK

PETALING JAYA – Jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengesahkan penjaga gol Kedah Ifwat Akmal Chek Kassim telah menarik diri daripada kem latihan pusat Harimau Malaya.

Beliau berkata, Ifwat, 23, meminta perlepasan itu kerana mempunyai masalah peribadi.

Sebagai ganti, Cheng Hoe memberitahu, penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Haziq Nadzli, 21, dipainggil untuk melapor diri ke kem latihan pusat esok.

“Ifwat telah minta perlepasan kerana beliau mempunyai masalah peribadi dan sebagai jurulatih, saya kena menghormati keputusannya itu. Jadi saya telah memanggil Haziq sebagai ganti,” kataya.

Beliau ditemui pihak media selepas latihan pusat hari kedua Harimau Malaya di Wisma FAM di sini hari ini.

Mengulas mengenai kemampuan Ifwat, Cheng Hoe menegaskan, penjaga gol telah bermain baik pada final Piala Malaysia 2019 walaupun Kedah tewas 0-3 kepada JDT.

Jelasnya, walaupun mengakui ada netizen mempertikaikan gol yang dilepaskan pemain berusia 23 tahun itu, Cheng Hoe berkata, dia tidak menyalahkan Iftwat 100 peratus.

“Bola sepak bukan hanya melibatkan seorang pemain tetapi secara keseluruhan. Ifwat sebenarnya bermain dengan Kedah sepanjang musim ini dan juga pasukan kebangsaan,” katanya.

Mengenai pemilihan Haziq, Cheng Hoe telah berhubung dahulu dengan jurulatih Bawah 23 Tahun negara, Datuk Ong Kim Swee sebelum memilih penjaga gol muda itu.

Katanya, Haziq yang baharu berumahtangga minggu lalu akan menimba pengalaman bersama pasukan kebangsaan sebelum menyertai Sukan SEA di Manila, Disember ini.

Sementara itu, skuad Harimau Malaya akan bertemu pasukan ranking ke-116 dunia, Tajikistan bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pada Sabtu ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Ia sebagai persiapan bagi menghadapi dua aksi Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand pada 14 November ini dan menentang Indonesia pada 19 November 2019 ini, di mana kedua-duanya juga berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil. – MalaysiaGazette