KUALA LUMPUR – Tuduhan Lim Guan Eng bahawa bukan Islam akan sengsara jika UMNO dan Pas memerintah adalah prejudis yang sangat jahat terhadap Islam dan bangsa Melayu.
Lebih-lebih lagi kepada UMNO dan Pas.
Lantaran itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggambarkan Setiausaha DAP itu sebagai seorang yang anti akal, tidak rasional dan tidak waras.
Beliau mengingatkan Guan Eng bahawa Islam datang ke Nusantara ini bukan melalui peperangan dan penaklukan sebaliknya secara damai melalui perdagangan.
Ia datang melalui usaha gigih para pedagang dan ketakwaan pendakwah dan ahli sufi, itulah sebabnya bangsa Melayu menerima Islam kerana ia dibawa dengan cara damai dan baik.
Malah sumbangan terbesar Islam kepada dunia Melayu ialah ia membawa aliran pemikiran yang rasional. Islam telah memandu pembentukan keperibadian bangsa Melayu dengan indah sekali.
Disebabkan ajaran Islam, bangsa Melayu telah menjadi bangsa yang juga sangat damai, rasional, bertolak ansur dan sangat berlumba-lumba melakukan kebaikan.
“Orang Melayu itu bukan bangsa yang bengis dan menindas, kerana mereka punyai Islam, yang memberikan kesejukan kepada nurani dan akal budi mereka kerana itu orang Melayu boleh menerima jutaan orang Cina dan India dan menjadikan mereka warga negara, Persekutuan Tanah Melayu. Mengiktiraf, memberikan hak yang saksama dan menjadikan mereka sebahagian dari tanahair ini.
“Semoga Lim Guan Eng tidak lupa, bahawa itu semua adalah keputusan berani dan benar pemimpin Melayu dalam UMNO pada waktu itu.
“Di era pemerintahan kamilah kekayaan orang Cina itu menjadi sangat luar biasa. Kerajinan bangsa Cina tanpa keadilan pemerintahan UMNO/BN, tidak akan menjadikan mereka berjaya. UMNO/BN lah yang telah mewujudkan pelbagai ‘impetus’ untuk bangsa Cina mencipta kekayaan.
“Di era pemerintahan UMNO/BN lah, sekolah vernakular itu subur dan bercambah dan tidak kami ‘nasionalised’ kan. UMNO/BN lah yang memelihara identiti sekolah vernakular, malah membantu seadilnya,”
“Ingatlah, di zaman UMNO/BN memerintahlah, telah kami pelihara, hormati dan damaikan semua kaum, menjadi bangsa yang kenal antara satu sama lain dan hidup secara muhibbah. Sehinggalah Malaysia ini menjadi contoh terbaik sebuah negara kesepakatan,” katanya.
Tegas Mohamad, UMNO dan Pas adalah pergerakan politik, ada ideologi dan yang lebih penting ada agama.
“Mana mungkin akan kami zalimi bangsa bukan Islam/bukan Melayu, sedangkan ia ditegah oleh agama kami.
“Mana mungkin akan kami nafikan hak kamu sedangkan pemimpin kami yang terdahulu yang telah merangka perlembagaan tanahair ini. Dan selama kami memerintah, kami menerima, melaksana dan menjunjung keluhuran Perlembagaan itu sebaik-baik usaha kami.
“Mana mungkin akan kami tindas akan bangsa bukan Melayu/bukan islam, sedangkan mereka adalah sebahagian dari kami. Mereka adalah guru kami, rakan sekolah, jiran, sahabat terbaik dan rakan perniagaan kami. Malah ada yang menjadi sang belahan jiwa kami, yang dengan mereka, kami membina rumahtangga, keluarga dan menjadi teman sehidup semati,” ujarnya.
Mohamad mengingatkan Guan Eng jika pemikiran politik beliau yang jumud itu menjadi sandaran, maka Malaysia Baru itu adalah Malaysia yang amat prejudis terhadap Islam dan bangsa Melayu dan bukan hanya sekadar bencikan UMNO dan Pas sahaja. – MalaysiaGazette