Home Ekonomi OPR kekal 3.00 peratus

OPR kekal 3.00 peratus

Bank Negara
Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia memutuskan kadar faedah semalaman (OPR) kekal pada kadar tiga peratus.

Bank Negara dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, pada paras semasa, dasar monetari masih kekal akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi.

MPC, katanya, akan terus membuat penilaian terhadap keseimbangan risiko di antara pertumbuhan domestik dan inflasi bagi memastikan dasar monetari kekal kondusif kepada pertumbuhan mampan.

Tambahnya, ekonomi berkembang pada kadar sederhana dengan kelembapan ekonomi negara maju dan pesat membangun dijangka berlaku serentak.

Terdapat bukti kelemahan perdagangan global menjejaskan permintaan domestik terutamanya aktiviti pelaburan.

“Ketegangan geopolitik, ketidaktentuan dasar dan pertikaian perdagangan yang tidak berkesudahan dijangka mampu meningkatkan lagi ketidaktentuan pasaran kewangan dan seterusnya memberi impak terhadap unjuran pertumbuhan global.

“Kelonggaran dasar monetari dan langkah-langkah monetari lain dijangka mampu memberikan sedikit sokongan terhadap pertumbuhan,” katanya.

Bagi ekonomi Malaysia, Bank Negara berkata, petunjuk terkini adalah sejajar dengan unjuran sedia ada iaitu perkembangan sederhana aktiviti ekonomi pada suku ketiga.

Pertumbuhan dijangka kekal dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta.

Tambahnya, meskipun pelaburan swasta dijangka kekal sederhana, perbelanjaan isi rumah diramal mendapat sokongan berterusan daripada pertumbuhan sektor pekerjaan dan upah.

“Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia diramal tumbuh dalam kadar yang telah dijangkakan pada 2019 dan mengekalkan momentum menjelang 2020.

Kadar purata inflasi pada 2019 dijangka rendah bagaimanapun ianya diramal meningkat secara purata pada tahun depan namun masih sederhana. – MalaysiaGazette