KUALA LUMPUR – Status pengganti kepada beberapa senator Dewan Negara yang difahamkan akan menamatkan jawatan masing-masing Disember depan masih belum dimuktamadkan oleh Pakatan Harapan (PH).
Menurut sumber, senarai nama pengganti senator yang dicadangkan oleh PKR pun masih belum ada kata putus.
Sumber yang rapat dengan kepimpinan PH berkata, parti itu telah menyenaraikan lima pengganti bagi PKR namun tiada perkembangan terkini mengenainya.
“PKR mahukan lima kerusi senator. Parti sudah hantar nama beberapa minggu lalu tapi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad belum meluluskannya,” katanya yang enggan mendedahkan nama-nama dalam senarai itu hari ini.
Bagaimanapun, apa menjadi buah mulut ramai pastinya pelantikan itu melibatkan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.
Kedua-dua pemimpin PKR itu sebelum ini ‘menyepikan diri’ selepas kemenangan PH pada PRU-14 lalu kerana tidak dapat menjadi calon atas sebab-sebab perundangan.
Turur disebut-sebut Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan.
Untuk rekod, beberapa senator Dewan Negara akan diganti dengan muka baharu susulan tamat tempoh perkhidmatan masing-masing pada Disember ini.
Kerajaan PH dijangka tidak akan mengekalkan beberapa muka lama dalam Dewan Negara kali ini memandangkan pelantikan sebelum ini dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum PRU-14 tahun lalu.
Sumber itu turut menyebut, PKR mengemukakan senarai lima nama tambahan itu atas dasar parti yang memenangi kerusi majoriti sebanyak 49 kerusi Parlimen.
“Kenapa PKR nak lima kerusi sebab mereka parti paling dominan,” katanya lagi.
Setakat Ogos tahun lalu, PKR mempunyai enam orang senator, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (10); DAP (7) , Parti Amanah Negara (Amanah) (3) dan masing-masing satu bagi Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Hindraf yang merangkumi 70 kerusi senator di Dewan Negara.
Barisan Nasional (BN) pula 27 orang dan Pas pula tiga orang. -MalaysiaGazette