PONTIAN – Barisan Nasional (BN) mampu merampas 10 negeri termasuk lima dikuasai Pakatan Harapan(PH) pada
pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) sekiranya agenda Muafakat Nasional berjaya dilaksanakan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, perkara itu berdasarkan politik semasa dan perjanjian Muafakat Nasional ketika ini yang telah membolehkan BN merampas Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Katanya, Johor dan Selangor juga mampu diambilalih semula sekiranya tiada lagi persengketaan antara parti-parti dalam komponen BN.
“Dulu (Dewan Undangan Negeri) Rantau tidak patut kalah tapi sebab gaduh sesama sendiri, sebab disabotaj kawan-kawan sendiri, sebab masalah dalaman, kita kalah. Orang tua cakap sepakat punca selamat, sengketa punca celaka.
“Berdasarkan situasi semasa penggabungan UMNO-Pas dalam Muafakat Nasional, kita sudah boleh ambil Melaka, Negeri Sembilan Perak dan Kedah selain mempertahankan negeri dimenangi masa PRU14.
“Kalau Johor digaul elok, sudah 10 negeri boleh menang tetapi tidak boleh bergaduh. Jangan ingat sudah Muafakat Nasional, boleh menang besar sebab kita masih perlu Sabah dan Sarawak,” katanya pada ceramah berkelompok BN di Warung Kampung Penerok, Kukup malam ini.
Hadir sama calon BN dari MCA, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng.
Mengulas lanjut Mohamad berkata, atas sebab itu dalam Muafakat Nasional, semua pengundi kaum Melayu harus menunjukkan sikap keterbukaan kepada masyarakat Sabah dan Sarawak.
“Saya tawar Sabah ada kuasa autonomi penuh sebab perjuangan Sabah adalah untuk mewujudkan kerajaan autonomi Sabah. Kita juga jaga silaturahim dengan Sarawak, boleh ambil Putrajaya.
“Mari sama-sama pandang gambar besar hendak amik Putrajaya. Orang Cina jangan cemburu dengan penyatuan ummah, strategi untuk satukan Melayu, hanya strategi untuk elak pertandingan tiga penjuru pada PRU-15,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad turut menyeru pengundi Parlimen Tanjung Piai supaya mengambil semangat gunung dari Cameron Highlands, semangat bandar dari Semenyih, memupuk semangat Rantau untuk diakhiri dengan kejayaan di tepi pantai merujuk Parlimen Tanjung Piai.- MalaysiaGazette