Home Nasional JAIM mahu roboh struktur di kubur panjang Pulau Besar

JAIM mahu roboh struktur di kubur panjang Pulau Besar

MELAKA – Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (JAIM) tidak menolak kemungkinan merobohkan beberapa struktur yang menjadi tempat duduk pengunjung di sekitar kubur panjang di Pulau Besar bagi membendung amalan khurafat daripada berlarutan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jaim, Rahimin Bani berkata, pihaknya akan mengkaji keperluan untuk mengambil tindakan tersebut bagi menyekat pengamal amalan khurafat terus melakukan kegiatan syirik di kubur panjang iaitu kubur Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail.

“Apabila struktur yang menjadi tempat duduk dirobohkan, mereka tiada ruang menjalankan acara ritual yang bercanggah dengan ajaran Islam,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, Jaim dan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) sentiasa memandang serius amalan khurafat di kubur orang Islam di pulau tersebut dan langkah pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa.

Bernama sebelum ini melaporkan kegiatan khurafat di Pulau Besar semakin menjadi-jadi apabila penduduk mendakwa terdapat ‘ustaz berbayar’ mengadakan upacara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Rahimin berkata, kuasa JAIM bagi melakukan tindakan secara besar-besaran adalah terhad.

“Kita tidak boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan amalan khurafat di tanah persendirian seperti di Batu Belah dan perigi nenek kebayan,”katanya. – MalaysiaGazette