PONTIAN – PolisĀ mengingatkan calon parti bertanding dan penyokongnya supaya tidak menimbulkan suasana emosi dan provokasi sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sehingga 12 tengah malam 15 November nanti.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar mengawal perasaan dan jangan terlalu beremosi dan jangan menimbulkan sebarang provokasi sehingga mencetuskan pergaduhan dan merujuk polis segera sekiranya berlaku sebarang masalah tidak diingini,” kata Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh.
Menurutnya, bagi memastikan keadaan terkawal dan selamat seramai 1,740 anggota dan pegawai polis bertanggungjawab memantau dalam tiga fasa iaitu pemantauan hari penamaan calon, aktiviti berkempen calon dan penyokong dan hari mengundi pada 16 November ini.
Sebanyak 159 permit kempen dikeluarkan sempena PRK Parlimen Tanjung Piai bermula 2 hingga 5 November setakat ini kepada semua parti enam parti yang bertanding 16 November ini.
Menurut Mustafa Bakri, sebanyak 74 permit ceramah telah diberikan kepada Barisan Nasional diikuti parti Gerakan sebanyak 62 permit manakala parti memerintah Pakatan Harapan pula sebanyak 23 permit.
Manakala Berjasa dan bebas masih sifar penganjuran ceramah.
Sepanjang tempoh berkempen bermula hari pertama sehingga sekarang keadaan keselamatan di daerah Pontian dalam keadaan aman dan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
“Polis kita yang bertugas 24 jam sepanjang kempen sejurus selepas hari penamaan calon pada 2 November lalu memantau pergerakan dan situasi di Tanjung Piai untuk memastikan proses kempen berjalan lancar tanpa insiden dan provokasi.
“Sepanjang lima hari berkempen enam parti yang bertanding telah dikeluarkan 159 permit ceramah dan kempen setakat ini manakala calon bertanding serta pemimpin bersama penyokong semuanya mematuhi peraturan pilihan raya yang ditetapkan dan bekerjasama dengan polis.
“PDRM Johor secara keseluruhannya akan memantau secara terperinci untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku dan nasihat polis supaya parti parti yang mahu berkempen supaya memohon permit sebelum kempen dijalankan bagi memudahkan pihak polis menyusun atau mengatur gerak pegawai dan anggota keselamatan supaya penugasan menjaga keamanan sepanjang kempen lancar,” katanya.- MalaysiaGazette