
SHAH ALAM – Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Azmil Muntapha Abas hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,000 di Maybank Jalan Meru, Klang pada 10 Mei 2019.
Menurut kertas pertuduhan, Azmil Muntapha menerima suapan itu yang dideposit ke akuan Maybank miliknya daripada Soo Seng Kok melalui dua individu lain iaitu Zumairi Othman dan Ahmad Feisal Mohd Azmi pada jam 8.24 malam, 10 Mei lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Allan Sumai Pillai berkata, suapan itu sebagai upah kepada Azmil Muntapha yang menjatuhkan hukuman denda sahaja kepada enam individu yang melakukan kesalahan di bawah subseksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289).
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Rozilah Salleh.
Menurut pertuduhan itu, Azmil Muntapha telah melakukan kesalahan di bawah subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1)Akta yang sama.
Sabit kesalahan Azmil Muntapha boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Terdahulu Allan memohon agar jumlah jaminan dikenakan tidak kurang RM100,000 dan pasport perjalanan perlu diserahkan kepada mahkamah susulan kes itu telah mencalar integriti dan menjejaskan kepercayaan umum kepada institusi kehakiman itu.
Bagaimanapun peguam,I M.Jagesh Mehalingam dan Gregory Santiago, memohon mahkamah meletakkan jumlah jaminan tidak lebih RM6,000 memandangkan anak guamnya berdepan dengan dua pertuduhan.
Hakim Rozilah membenarkan Azmil Muntapha diikat jamin dengan RM6,000 dengan seorang penjamin dan pasport perjalanan perlu diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan 16 Disember ini sebagai tarikh pengurusan kes berkenaan. – MalaysiaGazette